PERIKATAN Nasional (PN) disifatkan perlu berhenti bernostalgia dan menerima hakikat bahawa gabungan itu hanya memperoleh 73 kerusi pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) lalu dan tidak mampu membentuk kerajaan.
Pandangan itu disuarakan bekas Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Datuk Dr Mohd. Khairuddin Aman Razali dalam hantaran di Facebook.
Mohd. Khairuddin berkata, jumlah diperoleh PN itu terlalu jauh daripada 112 yang diperlukan bagi mendapatkan majoriti mudah membentuk kerajaan.
Bekas Ahli Parlimen Kuala Nerus itu juga menyangkal dakwaan bahawa Kerajaan Perpaduan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika ini merupakan kerajaan minoriti.
“Tidakkah dengan pelantikan Anwar sebagai PM mewakili Pakatan Harapan (PH); Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mewakili Barisan Nasional (BN) dan Datuk Seri Fadillah Yusof mewakili Gabungan Parti Sarawak (GPS) sebagai Timbalan Perdana Menteri menunjukkan kerajaan ini mempunyai angka 82, 30 dan 23 menjadikan jumlahnya 135 ahli Parlimen.
“Apabila dilantik lagi menteri mewakili Gabungan Rakyat Sabah (GRS), jumlah semua 141. Itu belum dikira tiga wakil Warisan; satu Parti Bangsa Malaysia (PBM); satu Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) dan dua Bebas, semuanya 148 ahli Parlimen telah mencapai dua pertiga majoriti.
Baca artikel berkaitan: BN Pahang hanya tawar PN satu jawatan Exco walaupun menang 17 kerusi- Tuan Ibrahim
“PN perlu berhenti bernostalgia, terimalah hakikat mereka hanya mendapat 73 kerusi, terlalu jauh untuk membentuk kerajaan yang memerlukan 112,” katanya dalam hantaran itu.
Mengulas lanjut, Mohd. Khairuddin yang tewas di kerusi Kuala Nerus pada PRU-15 atas tiket BN berkata, GPS dan GRS yang sebelum ini bersama PN kerana menyangkakan BN bersedia untuk menyokong.
Jelas beliau, apabila menyedari bahawa ia merupakan sokongan sebahagian individu wakil rakyat BN yang ‘dicuri’ daripada pintu belakang, kedua-dua gabungan itu beralih sokongan kepada PH dan BN.
“Sekiranya PN masih belum berpuas hati, 19 Disember menunggu mereka untuk mengusulkan sesuatu di Parlimen nanti.
“Sementara itu, terimalah keputusan pembentukan Kerajaan Perpaduan ini.
“Jika masih mahu menubuhkan kerajaan, pujuklah BN menerusi pintu depan lalu akan diikuti oleh GPS dan GRS, namun berbangkit persoalan bolehkah kerajaan tersebut stabil atau mengulangi pergolakan 2020 hingga 2022?,” soal beliau.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

