KERAJAAN Madani pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim terus komited untuk membantu Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA).
Ia selepas Perdana Menteri menandatangani perjanjian melibatkan jaminan kerajaan kepada Felda untuk menstruktur semula pinjaman agensi tersebut melalui terbitan sukuk dan kredit pusingan.
Anwar yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) dalam kenyataan hari ini memaklumkan, langkah itu adalah satu daripada usaha untuk memulihkan kedudukan kewangan FELDA.
“Jaminan Kerajaan ini dijangka dapat menstabilkan kedudukan kewangan FELDA serta menjamin model perniagaan yang lebih mampan supaya ia terus berupaya mengangkat mobiliti sosial warga peneroka dan generasi baharu FELDA,” kata beliau.
Baca juga: DUN 3 negeri bubar esok, hanya N. Sembilan masih belum umum
Mengulas lanjut, Anwar berkata, sebahagian besar penstrukturan semula pinjaman FELDA itu akan melibatkan pengurangan prinsipal hutang FELDA bersama institusi kewangan sebanyak RM7.9 bilion.
Jelas beliau, ia juga akan mengurangkan kos kewangan FELDA terhadap kadar faedah yang dikenakan serta membolehkan FELDA memberi pemansuhan 80 peratushutang peneroka berjumlah RM8.3 bilion yang dilaksanakan pada 2021.
Di samping itu, katanya, kerajaan telah menambah baik tatakelola penyaluran dana kepada FELDA sebagai agensi badan berkanun Kerajaan dengan melantik AmanahRaya Trustees sebagai pemegang amanah transaksi akaun.
Menurut Anwar, langkah itu bagi memastikan pelan transformasi FELDA berada di landasan yang tepat serta memenuhi keperluan akauntabiliti dan integriti.
“Kerajaan telah bersetuju memberi Jaminan Kerajaan kepada FELDA pada 2019 bagi membolehkan agensi tersebut melaksanakan pelan pemulihannya di bawah program transformasi FELDA yang telah bermula pada tahun 2020 untuk tempoh lima tahun,” katanya.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan wartawan di UtusanTV dengan pengalaman 11 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital. Sebelum menyertai UtusanTV pada Januari 2022, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media arus perdana dan portal berita lain sejak 2015. Sepanjang kerjaya, penulis telah menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu seperti jenayah, politik, perkembangan semasa dan hiburan.

