KERAJAAN perlu mengambil tindakan tegas terhadap Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing kerana didakwa telah mengganggu tugas penjawat awam di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), baru-baru ini.
Naib Presiden Bersatu, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee menegaskan, pegawai awam perlu dibenarkan menjalankan tugas sah mereka dalam apa jua keadaan tanpa gangguan dan tekanan daripada mana-mana orang apatah lagi melibatkan hal ehwal keselamatan dan kedaulatan negara.
Walaupun difahamkan King Sing mempunyai pas khas, namun Ronald berkata, tindakan Ahli Parlimen Bintulu itu yang dikatakan mengganggu pegawai Imigresen daripada melaksanakan tugas adalah satu kesalahan.
Kata beliau, ia terkandung di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan iaitu menghalang seorang penjawat awam daripada melaksanakan tugasnya.
Menurut Ronald, tindakan King Sing juga melanggar Seksyen 56(1)(g) Akta Imigresen iaitu menghalang sama ada secara aktif atau pasif mana-mana pegawai Imigresen yang sedang menjalankan tugasnya.
“Oleh itu, jika benar menteri telah mengganggu seorang pegawai Imigresen daripada menjalankan tugas mereka, maka tindakan perlu diambil oleh kerajaan.
“Insiden seperti ini tidak akan berlaku sekiranya kita menghormati tugas penjawat awam,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Baca artikel berkaitan: Kekecohan KLIA: King Sing beri penjelasan kepada Kabinet Rabu ini
Mengulas lanjut, Ronald menegaskan, amaran tegas perlu diberikan kepada mana-mana pihak yang cuba menghalang dan mengganggu tugas pihak berkuasa.
“Penjawat awam hanya menjalankan tugas mereka mengikut bidang tugas dan fungsi mereka.
“Tidak wajar mereka dihalang atau dikasari dalam apa jua keadaan,” katanya.
Jumaat lalu, sebuah portal berita melaporkan seorang menteri didakwa telah melakukan kekecohan di KLIA kerana mahu ‘menyelamatkan’ seorang pelawat China yang ditahan daripada masuk ke Malaysia.
Menteri berkenaan dikatakan telah menceroboh masuk ke dewan ketibaan antarabangsa tanpa memohon pas keselamatan.
Bagaimanapun, King Sing yang mengakui beliau merupakan menteri dimaksudkan dalam insiden itu mendedahkan beliau telah membongkar satu peristiwa memalukan negara apabila wujudnya budaya rasuah dilakukan segelintir pegawai di KLIA.
Pada masa sama, dakwaan bahawa beliau dikatakan ‘menceroboh’ masuk ke dewan ketibaan antarabangsa tanpa memohon pas keselamatan juga tidak benar.
King Sing turut mendakwa ada pegawai Imigresen yang meminta wang diberikan sekiranya pelancong asing yang ditahan mahu dilepaskan.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

