Ronald Kiandee digantung keahlian Bersatu selama dua penggal

Afiq Mohd. Shah
Afiq Mohd. Shah
Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital. Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016. Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

Dari Penulis

NAIB Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Dr Ronald Kiandee digantung keahlian parti itu selama dua penggal atau enam tahun berkuat kuasa hari ini.

Berita penggantungan Ahli Parlimen Beluran itu dimaklumkan sendiri dalam hantaran di Facebook, sebentar tadi.

Ronald turut berkongsi notis penggantungan beliau yang ditandatangani Pengerusi Lembaga Disiplin Bersatu, Datuk Mohd Radzi Manan.

Dalam hantaran tersebut, Ronald secara terbuka turut menegaskan tidak akan membuat rayuan terhadap keputusan tersebut.

Beliau turut mempersoalkan keputusan Lembaga Disiplin Bersatu yang hanya menggantung keahlian, bukan memecat sahaja dirinya.

“Mengapa sekadar digantung? Jika benar bersalah, pecat sahaja.

“Saya telah menganjurkan program RESET dan juga hadir bersama Datuk Seri Hamzah Zainudin dalam perjumpaan bersama Timbalan Perdana Menteri di Bangkok.

“Jika benar itu adalah satu kesalahan besar, mengapa tidak dipecat?,” katanya dalam hantaran tersebut.

Kuatkan persepsi Lembaga Disiplin ‘lindungi’ Presiden

Mengulas lanjut, Ronald mendakwa keputusan itu menguatkan lagi persepsi bahawa Lembaga Disiplin Bersatu kini digunakan sebagai alat politik untuk melindungi Presiden, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan kelompok kecil di sekelilingnya.

Menurut Ronald, persepsi itu wujud apatah lagi Lembaga Disiplin itu dipengerusikan oleh individu yang mempunyai hubungan kekeluargaan dengan kepimpinan tertinggi parti berkenaan.

“Sejak dua tahun kebelakangan ini, hala tuju parti semakin jelas tersasar apabila segala tindakan seolah-olah tertumpu kepada satu matlamat: mengangkat Tan Sri Muhyiddin (Yassin) sebagai poster boy dan calon Perdana Menteri ke-11.

“Sesiapa yang dilihat berpotensi menjadi penghalang kepada agenda ini akan disingkirkan.

“Lembaga Disiplin dijadikan alat paling ampuh untuk melaksanakan tindakan tersebut. Inilah juga yang berlaku terhadap beberapa pemimpin parti sebelum ini termasuk Datuk Seri Hamzah,” katanya.

Ronald juga mendakwa kewujudan kelompok ‘puak ya-presiden’ dalam parti itu berpunca daripada beberapa faktor, termasuk pelantikan oleh presiden, kekalahan dalam pemilihan tetapi diberikan jawatan oleh presiden, serta janji watikah pencalonan dalam pilihan raya.

Beliau berkata, keadaan itu menyebabkan kesetiaan kepada presiden menjadi keutamaan dalam kalangan sebahagian pemimpin parti.

“Saya menyertai parti ini dahulu kerana percaya ia adalah wadah perjuangan, bukan alat untuk memenuhi cita-cita politik individu.

“Namun apa yang kita lihat hari ini amat jauh daripada semangat tersebut. Saya tidak akan merayu. Anggap sahaja tempoh rayuan ini telah tamat,” katanya.

Dalam notis berkenaan, Mohd Radzi memaklumkan, tindakan terhadap Ronald itu dibuat selepas pihak lembaga disiplin bermesyuarat semalam dan memutuskan beliau digantung hak-hak keahlian dalam parti di bawah Fasal 22.5.

Mohd Radzi berkata, segala jawatan yang dipegang Ronald dilucutkan dan beliau tidak boleh membuat sebarang kenyataan atas nama parti sehingga tamat tempoh penggantungan.

“Ronald boleh mengemukakan rayuan kepada Lembaga Rayuan untuk pertimbangan dalam tempoh 14 hari dari tarikh notis ini,” katanya.


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Berkaitan

PM umum peruntukan tambahan RM1 juta Tabung Kasih@HAWANA

BAGI menyokong kebajikan pengamal media di negara ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mengumumkan peruntukan tambahan...

More Articles Like This