KEPUTUSAN membenarkan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) dan Tamil (SJKT) untuk beroperasi menggunakan bahasa pengantar Mandarin dan Tamil bercanggah dengan dasar yang diluluskan oleh kerajaan.
Peguam Mohamed Haniff Khatri Abdulla berkata, ia dapat dilihat di dalam Dasar Pendidikan Kebangsaan yang petikannya dimasukkan sebagai mukadimah terhadap Akta Pendidikan 1996 (Akta 550).
Katanya, dasar itu menyatakan; ‘Dan bahawasanya dasar yang dinyatakan di atas akan dilaksanakan melalui suatu sistem pendidikan kebangsaan yang memperuntukkan bahasa kebangsaan sebagai bahasa pengantar utama’.
Beliau seperti dipetik Harian Metro menjelaskan, berdasarkan penghakiman kes Mohammad Syawwaal Mohammad Nizar lawan kerajaan Malaysia, kedudukan bahasa kebangsaan sebagai pengantar adalah jelas dan tidak boleh disangkal.
Ujarnya, penggunaan bahasa Cina atau Tamil atau mana-mana bahasa lain sekali pun boleh digunakan selagi tidak menjejaskan kedudukan bahasa kebangsaan.
“Tetapi, di dalam tindakan ini, kami (perayu pertama dan kedua) menyatakan bahawa bahasa Cina dan Tamil sudah digunakan sebagai bahasa pengantar utama di sekolah jenis kebangsaan Cina dan Tamil, maka perkara ini menjejaskan kedudukan bahasa kebangsaan sebagai bahasa utama.
“Selanjutnya, kami menyatakan bahawa melalui Seksyen 17 dan 28 Akta Pendidikan 1996, Parlimen memberikan kuasa kepada Menteri untuk menubuhkan sekolah jenis kebangsaan Cina dan Tamil dan kami menghujahkan Parlimen tidak mempunyai kuasa untuk memberi kuasa berkenaan.
“Jika diteliti struktur ayat dan bahasa digunakan dalam Perkara 152(1) Perlembagaan Persekutuan, Parlimen hanya diberi kuasa menentukan bentuk tulisan, tetapi tidak diberi kuasa melangkaui daripada itu, apatah lagi kuasa untuk mengecualikan penggunaan bahasa kebangsaan, ini jelas melanggar peruntukan di bawah Perkara 152,” katanya.
Baca artikel lain: Anggaran pelaksanaan PRN 6 negeri RM420 juta – SPR
Beliau berkata demikian dalam rayuan beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berhubung keabsahan sekolah vernakular.
Perayu merayu keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 29 Disember 2021 yang menolak saman mereka berhubung keabsahan sekolah vernakular dan penggunaan bahasa Cina dan Tamil di sekolah berkenaan.
Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali (kini hakim Mahkamah Rayuan) memutuskan kewujudan dan penubuhan sekolah vernakular serta penggunaan Bahasa Cina dan Tamil di sekolah terbabit adalah sah serta berperlembagaan.
Sementara itu, Mohamed Haniff berkata, Mohd Nazlan terkhilaf dalam keputusannya dan turut terkhilaf apabila memutuskan penggunaaan kedua-dua bahasa itu dilindungi di bawah Perkara 152(1) Perlembagaan Persekutuan.
Perayu dalam rayuan berkenaan terdiri daripada Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), Majlis Pembangunan Pendidikan Islam Malaysia (Mappim) dan Gabungan Persatuan Penulis Malaysia (Gapena).
Ia turut membabitkan rayuan kumpulan Ikatan Guru-guru Muslim Malaysia (i-Guru) terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kota Bharu pada 29 Mei tahun lalu berhubung isu sama.
Rayuan hari ini didengar di hadapan panel tiga hakim Mahkamah Rayuan diketuai Datuk Supang Lian yang bersidang bersama-sama Datuk M Gunalan dan Datuk Azizul Azmi Adnan.
Selepas mendengar hujahan hari ini, panel kemudian menetapkan pengurusan kes rayuan itu esok bagi menentukan tarikh pendengaran rayuan seterusnya.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

