Kes solar hibrid: Mahkamah Rayuan benar permohonan Rosmah tangguh prosiding

Dari Penulis

MAHKAMAH Rayuan membenarkan permohonan Datin Seri Rosmah Mansor untuk menangguhkan prosiding rayuan kes rasuahnya membabitkan projek solar hibrid untuk 369 sekolah luar bandar di Sarawak, yang dijadualkan didengar pada 11 Julai ini.

Hakim Datuk Azizah Nawawi yang mengetuai panel tiga hakim dalam keputusan sebulat suara berkata ini adalah kali pertama pemohon (Rosmah) meminta penangguhan kerana beliau masih menunggu rayuan untuk membatalkan pelantikan mendiang Datuk Seri Gopal Sri Ram sebagai timbalan pendakwa raya kanan di Mahkamah Persekutuan.

“Memandangkan pendakwa raya tidak membantah, kami cenderung untuk membenarkan penangguhan itu,” kata Hakim Azizah yang bersidang bersama Hakim Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim dan Hakim Datuk S.M. Komathy.

Mahkamah kemudian menetapkan 18 Sept bagi pengurusan kes.

Sepatutnya, rayuan Rosmah terhadap sabitan dan hukuman penjara 10 tahun serta denda RM970 juta bagi kesalahan rasuah itu akan didengar selama empat hari bermula 11 Julai.

Terdahulu, peguam Rosmah, Datuk Jagjit Singh berhujah penangguhan itu dibuat dengan niat baik tanpa ada hasrat untuk menangguhkan rayuan itu.

Menurut beliau penangguhan itu bagi membolehkan rayuan Rosmah berhubung pelantikan Sri Ram selaku timbalan pendakwa raya kanan diputuskan terlebih dahulu di Mahkamah Persekutuan.

Baca artikel berkaitan: Projek solar: Rosmah fail rayuan di Mahkamah Persekutuan cabar pelantikan pendakwa utama

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya K. Mangai memberitahu mahkamah pihak pendakwaan tiada arahan untuk membantah penangguhan itu.

Pada 22 Jun, Mahkamah Rayuan menolak rayuan Rosmah untuk mendapatkan kebenaran semakan kehakiman bagi mencabar pelantikan Sri Ram sebagai timbalan pendakwa raya kanan dalam kes rasuah solar itu.

Pada 1 Sept tahun lepas, Hakim Mahkamah Tinggi Mohamed Zaini Mazlan yang kini Hakim Mahkamah Rayuan mendapati Rosmah bersalah atas tiga pertuduhan rasuah berkaitan projek solar hibrid dan menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun serta denda RM970 juta.

Mahkamah juga memerintahkan Rosmah dipenjara 30 tahun jika gagal membayar denda itu.

Bagaimanapun Mahkamah Tinggi membenarkan penangguhan pelaksanaan hukuman penjara dan denda sementara menunggu rayuannya di Mahkamah Rayuan.

Rosmah didakwa atas satu pertuduhan meminta RM187.5 juta dan dua pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM6.5 juta daripada bekas Pengarah Urusan Jepak Holdings Sdn Bhd Saidi Abang Samsudin.

— BERNAMA

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram

FacebookTwitterEmailWhatsAppTelegramLinkedInShare


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram

Berkaitan

Kerajaan lanjut perjanjian cari MH370 setahun lagi, kekal konsep ‘no find, no fee’

JEMAAH Menteri bersetuju melanjutkan perjanjian antara Kerajaan Malaysia dengan syarikat Ocean Infinity bagi meneruskan usaha pencarian bangkai pesawat Malaysia...

More Articles Like This