PENYANYI Wany Hasrita berkongsi berita gembira apabila dia kini bergelar ibu kepada seorang bayi perempuan yang di lahirkan secara normal pukul 7.14 petang di sebuah pusat perubatan di ibu negara, semalam.
Wany atau Nurshazwany Hasrita Hasbullah, 31, meluahkan rasa syukur atas kelahiran bayi sulungnya itu.
“Assalamualaikum, Bismillahi MasyaAllah, Alhamdulillah, Wany selamat melahirkan puteri kami pada hari Sabtu, 7.14 malam (semalam) secara normal.
“Terima kasih pada semua yang mendoakan kami. Anak ibu, semoga jadi anak solehah, penyejuk mata, penenang jiwa, pengerat cinta ibu dan bapa.
“Membesar dengan sihat dan jadilah orang yang memberi manfaat kepada yang lain kelak,” tulis Wany menerusi entri di Instagram.
Menerusi hantaran sama, pelantun lagu Menahan Rindu itu turut berkongsi gambar jari tangan anaknya yang sedang mengenggam tangan Wany.
Wany dan suami, Mohd Al-Adib yang bertugas sebagai juruterbang di Kuching, mula rapat selepas diperkenalkan rakan baik Wany pada 2019.
Mereka bertunang pada 26 Februari 2022, sebelum bernikah, Julai tahun lalu.

