PIHAK polis mengingatkan supaya berwaspada ketika berkempen untuk pilihan raya negeri (PRN) kerana setiap ucapan termasuk muat naik di media sosial akan dipantau.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, bukan hanya melibatkan 3R malah kempen secara maya atau kenyataan melalui media sosial yang menyentuh sebarang isu sensitif akan turut dipantau dan diambil tindakan.
Jelas beliau, pihaknya akan menempatkan pegawai penyiasat serta pasukan teknikal untuk merakam setiap ucapan bagi tujuan memantau sebarang aktiviti yang boleh mengganggu keharmonian dan perpaduan masyarakat.
“Saya ingatkan sekali lagi, jangan mainkan sebarang isu sensitif dan perkara yang saya rasakan tidak perlu dinyatakan semasa berkempen, demi memastikan perpaduan dan keharmonian sesama masyarakat di negara kita sentiasa berada pada tahap terbaik.
“Pihak polis sendiri terdiri pegawai akan merakam ucapan serta pegawai penyiasat akan menjalankan pemantauan pada setiap masa di semua program kempen oleh mana-mana parti politik yang akan diadakan sepanjang PRN ini,” katanya seperti dilapor Berita Harian.
Sebelum ini, Polis Diraja Malaysia (PDRM) memaklumkan, 40,000 pegawai dan anggotanya akan terbabit dengan pengawasan sepanjang PRN di enam negeri dengan 663 daripadanya ditempatkan di Pulau Pinang.
Pegawai dan anggota terbabit itu terdiri pasukan dari Bukit Aman dan kontinjen yang tidak terbabit dengan PRN.
Baca artikel lain: ‘Benarkan pekerja pulang mengundi’ – Mustapha
Dalam pada itu, Razarudin berkata, langkah pemantauan akan dilaksanakan bermula hari penamaan calon pada 29 Julai sehinggalah hari pengundian yang dijadualkan 12 Ogos depan.
“Secara amnya, PDRM bukan hanya menumpukan isu 3R dan perkara yang menyentuh sensitiviti pada musim pilihan raya semata-mata, sebaliknya setiap masa demi memastikan keamanan dan ketenteraman awam sentiasa terjamin.
“Individu dikesan memainkan isu 3R melalui media sosial atau cuba menyebarkan sesuatu yang tidak benar juga tidak akan terlepas dari tindakan undang-undang.
“Sehubungan itu, polis menasihatkan orang ramai supaya menjadi pengguna bijak dalam berkongsi pandangan atau pendapat menerusi media sosial tanpa menyentuh sebarang isu sensitif,” katanya lagi.
Dalam perkembangan lain, Razarudin berkata, pihaknya mengenal pasti hampir 100 lokasi panas di enam negeri terbabit PRN kali ini ini.
“Selangor merekodkan 56 lokasi panas, tertinggi berbanding lima negeri lain. Namun kita mempunyai jumlah keanggotaan mencukupi dalam memastikan PRN ini lancar dan selamat.
“Kita akui ada antara tempat boleh dikatakan panas namun PDRM akan cuba redakan keadaan daripada berlakunya sebarang ketegangan antara semua pihak,” katanya.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

