PENGACARA, pelakon dan usahawan, Neelofa selamat melahirkan cahaya mata keduanya pada Selasa lalu, jam 10.45 malam di sebuah pusat perubatan di Kuala Lumpur.
Ujar Neelofa atau Noor Neelofa Mohd Noor, dia memaklumkan mengenai kesihatan bayi lelaki tersebut berada dalam keadaan baik dan sihat.
“Alhamdulillahi rabbil alamin, tanggal 11 Julai 2023 jam 10.45 malam menjadi hari yang penuh berkat dan rahmat bagi keluarga kami.
“Putera kedua tercinta kami menjengah dunia dalam keadaan sihat walafiat,” kongsinya menerusi menerusi Insta Story miliknya.

Selain itu, pengacara berusia 34 tahun itu memohon yang terbaik buat zuriatnya agar sentiasa menjadi yang terbaik dan membawa kebaikan kepada orang ramai.
Tambahnya, pelakon filem Pilot Café dan suami, Pencetus Ummah Haris, meminta agar pengikut di Instagram mendoakan supaya bayi keduanya dapat dibesarkan dalam keadaan baik begitu juga mengharapkan dapat menjadi ibu bapa yang terbaik.
“Semoga kehadirannya selalu membawa keberkatan bagi keluarga kami, menjadi anak yang soleh, berbakt pada orang tua, berguna bagi agama, keluarga, nusa dan bangsa.
“Mohon doa agar anak kedua kami ini membesar dengan baik dan cerdas, diberi kesihatan dan umur panjang. Amin!
“Semoga kami mampu menjadi ibu bapa yang baik dalam mendidik dan membesarkannya. Insya-Allah,” tulisnya.
Menerusi hantaran lain yang dimuat naik, bekas peserta Dewi Remaja itu turut memaklumkan akan berkongsi nama anaknya pada hari tujuh kelahiran.
Terdahulu, pasangan sejoli itu juga tidak mendedahkan tentang anak sulungya, Muhammad Bilal pada awal kelahirannya termasuk gambar bayi mereka.
Kelahiran kedua milik pelakon kelahiran Pasir Mas, Kelantan itu amat dinantikan oleh para peminat selepas pengumuman tersebut dibuat pada Mac lalu.
Untuk rekod, Neelofa dan Haris berkahwin pada 27 Mac 2021 dan mereka dikurniakan seorang cahaya mata lelaki, Muhammad Bilal yang kini berusia setahun.

