KERAJAAN perlu mengambil langkah berani mengurangkan kebergantungan terhadap sumber barangan import dengan memperkasakan pengeluaran produk dan pasaran domestik sebagai langkah mampan menangani masalah kenaikan harga barang.
Ketua Laboratori Kajian Dasar Pertanian dan Makanan Institut Pertanian Tropika Dan Sekuriti Makanan (ITAFoS), Universiti Putra Malaysa, Prof Dr Abdul Rahim Abdul Samad berkata apa yang diperlukan ketika ini adalah dasar yang dapat memberi impak pantas terhadap permasalahan berkenaan.
“Biasanya kebergantungan kita kepada import sama ada terhadap produk akhir atau input pertanian contohnya baja, mempengaruhi kenaikan harga barang kerana melibatkan kos tinggi. Sebagai contoh, jika sekarang kebergantungan terhadap beras import sekitar 30 ke 40 peratus, kenapa tidak kita sasarkan ‘sifar import’ bagi beras yang boleh dihasilkan dalam negara.
“Kemudian galakkan peniaga tempatan dengan melatih mereka menghasilkan baja serta input lain, kaedah ini bukan sahaja dapat mengurangkan harga malah dapat menstabilkan pertumbuhan ekonomi apabila negara sendiri sudah menjadi pengeksport bagi komoditi pertanian,” katanya kepada Bernama hari ini.
Mengulas lanjut, Abdul Rahim berkata dasar kawalan harga dan subsidi yang diguna pakai ketika ini bukan penyelesaian mampan mendepani masalah kenaikan harga barang kerana ia bersifat sementara dan hanya memperlahankan masalah yang ada.
“Yang kita buat ketika ini adalah kita import barang yang kurang untuk stabilkan pasaran, contoh jika tidak cukup telur kita import, begitu juga bagi barangan lain sebagai penyelesaian jangka pendek untuk penuhi permintaan domestik dan stabilkan harga tetapi kawalan ini bukan penyelesaian mampan dan bukan murah.
“Ini kerana kerajaan kena keluarkan duit yang banyak dengan subsidi lagi, selama mana kita mampu bertahan dengan keadaan begitu jika tiada perubahan pada input atau tiada inovasi dibuat, masalah akan berulang dan terus berulang,” katanya.
Selain itu, Abdul Rahim juga mencadangkan supaya kajian pasaran terhadap rantaian bekalan bagi setiap komoditi pertanian dijalankan bagi mengenal pasti kos-kos yang terlibat sekali gus membolehkan kerajaan merangka dasar lebih baik dan berkesan.
“Kajian ini perlu dibuat seawal peringkat penanaman hingga ke pengguna akhir, daripada kajian ini kita boleh tahu di mana kelemahannya, apa masalah yang sebabkan kenaikan harga barang,” katanya.
Baca artikel lain: PRN: Amanah Selangor bakal bertanding 9 kerusi
Menyuarakan perkara sama, penganalisis ekonomi Universiti Kuala Lumpur Business School, Prof Madya Dr Aimi Zulhazmi Abdul Rashid berkata kementerian juga perlu memastikan pembekal yang mengimport barangan keperluan dari luar tidak menaikkan harga sewenang-wenangnya.
“Contohnya (menaikkan harga barang yang diimport) melebihi 20 peratus dengan alasan kelemahan ringgit baru-baru ini sedangkan ringgit tidaklah melemah sehingga 20 peratus dalam masa enam bulan tahun ini,” katanya.
Aimi Zulhazmi berkata kerajaan juga perlu peka terhadap rantaian bekalan bagi setiap barangan keperluan terutamanya barangan bersubsidi dengan menjalankan penguatkuasaan berkesan terhadap peniaga yang sengaja menyorok atau menaikkan harga sesuka hati untuk mengaut keuntungan.
Dalam situasi ekonomi hari ini, Aimi Zulhazmi berpendapat pengguna perlu bijak menguruskan perbelanjaan isi rumah dengan melakukan penyelidikan sebelum membuat pembelian serta berbelanja mengikut keperluan dan bersesuaian dengan pendapatan isi rumah.
“Dengan membeli hanya apa yang perlu, pengguna boleh menjimatkan wang, mengurangkan pembaziran, mengekalkan persekitaran yang bebas tanpa dipengaruhi sesiapa, membuat keputusan yang telus dan akhirnya mendapat kepuasan yang lebih besar dalam perbelanjaannya,” katanya.
Katanya kecanggihan teknologi sekarang membolehkan pengguna lebih mudah membuat penyelidikan sebelum membuat pembelian,” katanya.
Semalam, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata kerajaan memberi jaminan harga barangan asas terutama yang diberikan subsidi tidak akan naik secara melampau pada tahun ini.
— BERNAMA
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

