KERAJAAN sedang mengkaji untuk mewujudkan satu akta baharu bagi menghukum pihak yang mempermainkan isu 3R (agama, raja dan kaum) daripada aspek sivil.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said berkata akta baharu itu, yang mungkin dinamakan Akta Negara dan Bangsa, adalah berfungsi seperti Akta Keharmonian Kaum di Singapura tetapi dalam konteks Malaysia.
Beliau berkata buat masa ini, sebarang kesalahan melibatkan isu 3R disiasat di bawah Akta Hasutan 1848 sedangkan akta itu lebih menjurus kepada elemen kesalahan jenayah sehingga menyebabkan pendakwaan memakan masa yang lama berikutan prosedur undang-undang.
“Jadi, saya menyatakan mungkin kita perlu menilai dalam elemen positiviti… akta sedemikian yang dicadangkan berbentuk punitif.
“Maknanya kalau dia langgar, dia akan dikenakan denda. Itu lebih senang diselesaikan atau disabitkan. Kalau ikut jenayah, prosedur, pengukuran bukan mudah,” katanya kepada pemberita selepas menjadi tetamu Forum ‘Malaysia Di Ambang PRN 2023’ di Menara Dato Onn, Kuala Lumpur malam ini.
BERITA BERKAITAN PM beri amaran terakhir kepada pihak main isu 3R
Azalina berkata pandangan bagi mewujudkan akta baharu sudahpun dibentangkan kepada Jemaah Menteri hari ini dan mendapat respons yang positif.
Beliau berkata cabaran yang dihadapi ketika ini ialah apabila media sosial digunakan bagi mempermainkan isu 3R, ia mampu dinafikan dan tiada mempunyai bukti kukuh.
Katanya justeru, kewujudan akta baharu adalah penyelesaian kepada isu 3R yang semakin menjadi-jadi di Malaysia sejak kebelakangan ini seterusnya memastikan keperluan generasi akan datang lebih terjamin.
Ketua Penerangan UMNO itu juga berkata keputusan Mahkamah Rayuan Perancis yang menolak penguatkuasaan sebahagian award yang diperoleh Kumpulan Sulu membuktikan kestabilan Kerajaan MADANI.
“Kes Sulu itu jika kerajaan stabil memang tidak boleh menang. Mereka ambil kesempatan. Mereka tidak bodoh. Mereka tahu jika Perdana Menteri bertukar, kadang-kadang peguam negara bertukar, mereka ambil kesempatan,” katanya.
— BERNAMA
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

