MERAQUE Group (Meraque), sebuah syarikat dron dan robotik Malaysia yang menawarkan solusi berasaskan teknologi kenderaan udara tanpa pemandu (UAV) dan robotik hari ini mengumumkan syarikat itu telah menerima anugerah Global Youth ketika menyertai Pertandingan Inovasi & Keusahawanan Belia Global di Shandong, China, baru-baru ini.
Pertandingan anjuran Pejabat Hal Ehwal Luar Shandong itu diadakan dari 7 hingga 8 Julai sempena Persidangan Belia Global 2023 dengan disertai oleh para peserta dari pelbagai negara dari seluruh dunia dan Meraque merupakan satu-satunya syarikat yang mewakili Malaysia.
Ketua Pegawai Eksekutif Meraque, Md Razalee Ismail membentangkan mengenai penyelesaian dan produk keluaran mereka kepada panel hakim pada 7 Jun lepas dan kemudiannya berjaya dipilih sebagai pemenang bagi kategori rantau ASEAN. Penyelesaian yang dikemukakan termasuk produk berkaitan UAV serta Kenderaan Darat Autonomi (AGV) pertanian hasil ciptaan syarikat itu.
RACE atau singkatan kepada ‘Robotic Agro in Complex Environment’ merupakan salah satu AGV yang diketengahkan Meraque dalam pertandingan tersebut dan mendapat perhatian ramai. RACE merupakan AGV Malaysia pertama yang dibangunkan menggunakan modul pengkomputeran berkuasa tinggi dalam sistem kawalan sepenuhnya. Penyelesaian itu dapat mengurangkan kebergantungan kepada tenaga kerja dan meningkatkan konsistensi penyemburan baja dan racun di ladang kelapa sawit seperti yang diperlukan oleh industri.
Hasil daripada prestasi cemerlang Meraque di Shandong, syarikat itu telah mendapat beberapa tawaran perkongsian dan kerjasama dengan beberapa syarikat tempatan yang akan menyaksikan penubuhan kemudahan pembuatan produk keluaran Meraque di wilayah Shandong.
Kemudahan pembuatan itu akan dikhususkan untuk menghasilkan pengeluaran produk-produk berasaskan teknologi Meraque terpilih, termasuk UAV dan AGV untuk memenuhi pasaran China dan juga global. Lanjutan dari pertemuan dengan kerajaan dan syarikat yang diadakan, Meraque kini sedang memuktamadkan syarat-syarikat kerjasama tersebut.
Md Razalee berkata, penerimaan anugerah itu mengukuhkan lagi komitmen mereka untuk menyokong cita-cita Malaysia menjadi pemain utama dalam industri dron global dan hab dron berpotensi di ASEAN.
“Kami benar-benar berbesar hati dipilih untuk menerima anugerah berprestij dan meletakkan Malaysia di peta dunia. Meraque berada di ambang pertumbuhan industri yang berpotensi tinggi dan kami sangat teruja dengan peluang ini untuk mengembangkan lagi penawaran produk kami ke pasaran China.
“Kami sangat gembira dapat bekerjasama dengan syarikat terkenal di China yang mempunyai pengalaman luas dalam bidang mereka dan akan memberi kami kelebihan apabila beroperasi di sini,” katanya dalam kenyataan akhbar.
“Tahun lalu, kami membentangkan rancangan untuk mengukuhkan keupayaan teknologi kami dengan usaha pengembangan global dan saya harus mengakui bahawa Meraque sedang mencapai kemajuan yang besar dalam rancangan tersebut.
“Sejak itu, Meraque telah meningkatkan barisan aplikasi teknologi syarikat bersama-sama dengan tawaran perisian-sebagai-perkhidmatan, yang membolehkan kami memenuhi keperluan pelbagai industri – daripada pertanian kepada telekomunikasi. Anugerah dan kerjasama ini adalah bukti dedikasi kami terhadap misi syarikat dan kami baru sahaja bermula,” tambah Md Razalee.
Meraque kini memegang bahagian pasaran terbesar untuk perkhidmatan penyemburan, pemetaan, pemeriksaan struktur, pengawalan keselamatan dan pelbagai lagi perkhidmatan lain dalam industri yang menggunakan dron bersama perincian sistem di Malaysia. Syarikat itu menyasarkan untuk menjana 1,000 peluang pekerjaan di seluruh dunia dan mempunyai misi memberikan impak ekonomi sebanyak RM90 juta dalam tempoh 5 tahun akan datang melalui pasaran tempatan dan eksport.
Meraque telah dinamakan sebagai 20 penyedia perkhidmatan teknologi dron terbaik di dunia pada tahun 2021 oleh Drone Industry Insights, perunding penyelidikan pasaran yang berpangkalan di Jerman. Industri dron telah menyaksikan peningkatan yang semakin meningkat dengan pasaran dron global diramalkan mencapai AS$41.3 bilion pada 2026, menurut Laporan Pasaran Drone 2021-2026.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

