PEMUDA UMNO bersedia dan komited untuk berjuang bersama-sama dengan pergerakan pemuda parti dalam Kerajaan Perpaduan bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri, termasuk di kerusi yang tidak ditandingi parti itu.
Ketua Pemuda UMNO, Dr Muhamad Akmal Saleh berkata gerak kerja untuk menghadapi PRN itu juga telah siap dan beliau akan memastikan jentera Pemuda UMNO bekerja kuat untuk memenangkan calon-calon parti dalam Kerajaan Perpaduan.
“Memandangkan Pilihan Raya Umum ke-15 baru berlangsung beberapa bulan lepas, sudah tentu gerak kerjanya kali ini lebih kurang sama, cuma ada beberapa portfolio yang kita mahu fokuskan. Kita juga akan gerak kerja bersama dengan Pemuda Kerajaan Perpaduan yang lain,” katanya kepada wartawan selepas berucap pada Pentas Anak Muda Madani Pulau Pinang semalam.
Turut hadir, Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Malaysia, Adam Adli Abd Halim dan Timbalan Ketua AMK Malaysia, Kamil Munim.
Berhubung program berkenaan, Dr Muhamad Akmal berkata ia merupakan kali pertama bagi Pemuda daripada blok Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) berkongsi pentas yang sama, sekali gus menunjukkan semangat perpaduan dan komitmen kedua-dua blok untuk berjuang bersama.
Baca artikel berkaitan: Sentuh isu 3R, Pemuda UMNO minta Guan Eng disiasat
Dr Muhamad Akmal berkata walaupun masih terasa “kekok” berkongsi pentas dengan Pemuda PH, beliau berharap langkah pertama itu akan memberikan manfaat kepada rakyat dan parti politik.
“Hari ini sejarah tercipta bagi Pemuda BN dan PH kerana di sini merupakan pentas pertama yang dikongsikan di peringkat nasional dan setakat ini, kami melihat sokongan daripada akar umbi memberangsangkan … kami jangka semangat ini akan dibawa sehingga hari pengundian pada 12 Ogos,” katanya.
Dr Muhamad Akmal berkata jentera Pemuda UMNO akan bekerja keras untuk memenangkan siapa pun calon yang bertanding atas tiket parti dalam gabungan Kerajaan Perpaduan.
— BERNAMA
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

