SELALUNYA kes yang terjadi ialah murid tidak datang ke sekolah, ada kala sehingga barhari-hari tanpa memaklumkan kepada pihak sekolah. Pihak sekolah boleh mengambil tindakan tegas, malah sehingga membuang pelajar, jika kesalahan ponteng berulang tanpa penjelasan munasabah.
Namun yang berlaku di Sabah baru-baru ini adalah sebaliknya. Guru pula yang dihukum oleh mahkamah kerana tidak datang mengajar. Sepanjang ingatan penulis, inilah pertama kali kes sedemikian berlaku.
Tiga bekas pelajar SMK Taun Gusi, Kota Belud, 100 kilometer dari Kota Kinabalu, menang saman terhadap guru Bahasa Inggeris, Mohd Jainal Jamran yang tidak datang mengajar selama tujuh bulan.
Ketiga-tiga bekas pelajar tersebut yang kini berusia 22 tahun ialah Rusiah Sabdarin, Nur Natasya Allisya Hamali dan Calvina Angayung. Mereka memfailkan saman pada Disember 2020.
Selain Mohd Jainal, mereka turut menamakan empat lagi defendan iaitu Pengetua SMK Taun Gusi, Suid Hanapi; Ketua Pengarah Pendidikan; Menteri Pendidikan dan kerajaan.
Penghakiman yang diputuskan oleh hakim Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu, Leonard David Shim pada Rabu 19 Julai lalu dianggap penghakiman bersejarah atau ‘landmark decision’ yang pertama kali di negara ini.
Mahkamah memerintahkan kesemua defendan membayar ganti rugi keseluruhan RM150,000 kepada plaintif. Selain itu kesemua defendan juga perlu membayar ganti rugi nominal RM30,000 kepada plaintif.
Rusiah, Nur Natasya dan Calvina memfailkan saman kerana guru Bahasa Inggeris, Mohd Jainal, tidak datang mengajar selama tujuh bulan pada 2017 ketika mereka dalam persediaan menghadapi peperiksaan Siil Pelajaran Malaysia (SPM). Ini menjejaskan persiapan mereka menghadapi SPM.
Memetik hakim David Shim, plaintif telah berjaya membuktikan kes mereka. Kelima-lima defendan mengingkari tanggung jawab yang diamanahkan kepada mereka serta menafikan hak plaintif mendapat pendidikan seperti dijamin oleh perlembagaan.
Hakim juga menyatakan, pengetua didapati gagal melaksanakan tangung jawabnya di bawah Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Disiplin) 1993.
Mahkamah mendapati kelima-lima defendan gagal mematuhi tanggung jawab statutory di bawah Akta Pendidikan 1996 kerana gagal menyediakan keperluan plaintif mempersiap diri menghadapi peperiksaan seperti termaktub dalam Akta Pendidikan tersebut.
Difahamkan, sebelum ini saman serupa dikemukakan oleh seorang lagi pelajar, Siti Nafirah Siman, terhadap guru yang sama. Dia memfailkan saman tersebut pada Oktober 2018. Perbicaraan di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi, Ismail Brahim, dijadual bersambung pada 16 Ogos ini.
Apa yang berlaku di Sabah merupakan satu perspektif baharu dalam sistem pendidikan negara ini. Ia ibarat kejutan kerana belum pernah berlaku sebelum ini guru yang gagal melaksanakan tugas diheret ke mahkamah.
Bukan sahaja guru terlibat disaman, tetapi menyeret bersamanya pengetua sekolah, Ketua Pengarah Pendidikan, Menteri Pendidikan dan kerajaan.
Kerana itu kes di Sabah ini dianggap pembuka mata kepada masyarakat untuk menyedari bahawa pelajar bukan sahaja perlu ke sekolah untuk menimba ilmu. Tetapi mereka berhak mendapat pendidikan seperti diperuntuk dalam Akta Pendidikan 1996. Sebarang usaha meremehkan mereka memperoleh peluang tersebut adalah bertentangan dengan peruntukan Akta.
Selama ini mungkin isu ini tidak diberi perhatian kerana ia tidak ditonjolkan. Tidak mustahil banyak kes guru ponteng berlaku di mana-mana sekolah tetapi tidak terserlah. Mungkin ada tindakan disiplin dalaman diambil dan masalah diselesai secara dalaman.
Juga ada kemungkinan ada aduan oleh pelajar tetapi tidak diambil endah oleh pihak sekolah. Pelajar ini pula tidak terfikir memanjangkan isu sehingga ke peringkat mengambil tindakan mahkamah. Sebaliknya hanya membiarkan ia berlalu begitu sahaja.
Yang rugi ialah pelajar sendiri. Ketiadaan guru selaku pembimbing sudah pasti menjejaskan prestasi pelajar. Kesan lebih teruk akan dirasai oleh pelajar yang berada dalam kelas peperiksaan seperti SPM. Amatlah tidak wajar jika pihak sekolah tidak mengambil langkah proaktif mengatasi masalah berkenaan.
Tidak diketahui kenapa dalam kes SMK Taun Gusi, pihak sekolah terutama pengetua, tidak bertindak mengatasi masalah guru yang ponteng terlalu lama. Kemungkinannya cerita ini terpendam jika tindakan mahkamah tidak diambil oleh tiga pelajar terbabit.
Kerana itu keputusah mahkamah di Sabah itu wajar menjadi iktibar kepada pihak sekolah di negara ini agar lebih berhati-hati pada masa hadapan. Pastikan setiap guru yang dipertanggung jawab mendidik anak bangsa melaksanakan tugas dengan jujur, ikhlas dan berdedikasi.
Jika ada kepincangan jangan dipendam. Pihak sekolah hendaklah berbincang dengan Jabatan Pendidikan dan Kementerian Pendidikan bagi mencari penyelesaian agar proses Pengajaran dah Pembelajaran (P&P) tidak terjejas.
Penulis percaya dengan kes di Sabah ini, pelajar lebih menyedari hak mereka mendapat pendidikan. Mereka boleh sahaja mengambil tindakan jika hak tersebut dinafikan. Jika dahulu tidak tahu sekarang sudah tahu. Pintu banjir atau ‘flood gate’ telah dibuka. Mungkinkah selepas ini banyak kes saman terhadap guru akan difailkan?
* Penulis memulakan kerjaya kewartawanan di Berita Harian pada 1979 sebelum menyertai Utusan Melayu pada 1980. Beliau kemudian melanjutkan pengajian kewartawanan sehingga peringkat sarjana di Boston University, Amerika Syarikat. Jawatan terakhir Penolong Ketua Pengarang Utusan.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram
ends