Fettuccine merupakan sejenis pasta yang berbentuk seperti kuey teow. Untuk memasak pasta, kita perlu tahu teknik merebus pasta yang betul. Nampak macam mudah tetapi jika tidak kena gaya, pasta akan lembik, melekat dan terlalu keras. Kebiasaannya pasta direbus secara al dente.
Al dente bermaksud tekstur pasta masih kenyal tidak terlalu lembut dan tidak terlalu keras. Sebenarnya apa jua jenis pasta tidak boleh direbus terlalu lama sehingga hilang khasiatnya. Tip paling penting, pastikan air mendidih terlebih dahulu, masukkan garam dan selepas itu barulah masukkan pasta.
Setelah pasta masak, angkat dan tuskan. Gaulkan pasta dengan sedikit minyak zaitun agar tidak terlalu kering dan melekat. Ingat! Jangan campur pasta yang berlainan jenis kerana tahap masaknya tidak sama.
Fettuccine Alfredo
BAHAN
200 gm fettucini
250 ml susu segar
1 sudu besar krim masakan
2 keping keju
50 gm ayam cincang
2 keping cendawan hitam – hiris
2 ulas bawang putih – cincang
4 sudu besar minyak zaitun
Sedikit garam dan lada hitam
Sedikit parsli kering
CARA PENYEDIAAN
- Didihkan air di dalam periuk. Letakkan sedikit garam. Setelah mendidih masukkan fettucini. Masak sehingga al dente. Angkat dan asingkan.
- UNTUK SOS: Panaskan sedikit minyak zaitun, masukkan bawang putih, isi ayam dan cendawan hitam, masak sehingga naik bau.
- Masukkan susu segar dan krim masakan. Kacau perlahan-lahan sehingga sebati dan pekat.
- Kemudian masukkan kepingan keju dan fettuccine. Kacau sebati.
- Tambahkan garam dan serbuk lada hitam secukup rasa. Taburkan parsli kering dan bolehlah di hidangkan.

Penulis merupakan Pengarang SAJI di UtusanTV dengan pengalaman lebih 23 tahun dalam bidang kewartawanan. Kerjaya penulisan bermula pada tahun 1996 di HVD Film Production (M) Sdn Bhd sebagai penulis skrip selama tujuh tahun. Seterusnya, penulis menyertai Utusan Karya Sdn Bhd pada tahun 2003 sebagai wartawan dan jawatan terakhir sebagai Pengarang SAJI. Pada tahun 2023 bertugas di Utusan Binders Sdn.Bhd. di bawah jenama UtusanTV sehingga kini.
Sepanjang kerjaya, penulis berkemahiran dalam penulisan dan liputan pelbagai isu, khususnya berkaitan pemakanan. Selain mencipta resipi, penulis juga terlibat dalam penerbitan buku resipi untuk chef-chef, menjadi juri pertandingan masakan, serta aktif dalam penganjuran acara dan program CSR.
Sebarang jemputan acara, kerjasama bagi event & CSR, pelancaran produk atau sidang akhbar boleh diajukan melalui e-mel: [email protected].

