Di sebalik amukan roh Bathsheba yang jadi pencetus kepada filem seram popular

Dari Penulis

Pada tahun 1970, pasangan suami isteri, Roger dan Carolyn Perron berpindah ke sebuah rumah ladang yang dibeli mereka. Rumah yang dibina pada tahun 1736 itu terletak di Harrisville dalam daerah Rhode Island, Amerika Syarikat, mempunyai 14 buah bilik.

Suami isteri itu berpindah ke situ bersama lima puteri mereka – Andrea, Nancy, Christine, Cindy dan April. Rumah itu sudah agak lama terbiar tanpa penghuni. Hari pertama mereka berpindah, anjing peliharaan mereka asyik menyalak dan enggan masuk ke dalam rumah.

Keesokan hari, Carolyn mendapati tubuhnya lebam-lebam setelah bangun daripada tidur. Tambah mengejutkan, anjing mereka ditemui mati di luar rumah. Sejak itu, satu persatu perkara aneh mula berlaku di rumah itu.

Carolyn bersama lima anaknya di hadapan rumah ladang yang dibeli.
Rumah ladang yang dibeli pasangan suami isteri ini tanpa mengetahui sejarah di sebaliknya.

Semakin hari, semakin banyak kelibat aneh muncul. Antaranya, bayangan lelaki tua, budak lelaki, termasuk roh wanita yang selalu menyapu dan membersihkan bilik di rumah tersebut.

Selalunya apabila anak-anak Perron cuba menghampiri kelibat yang muncul, ia serta-merta menghilang bagaikan kabus. Walaupun pada awalnya mereka ketakutan, namun semakin lama keluarga Perron sudah mula terbiasa dan tidak kisah dengan kehadiran ‘mereka’ di dalam rumah itu.

Malangnya, ketenangan itu tidak lama. Bukan semua ‘penghuni’ di rumah itu yang ‘mesra’ dan sudi menerima kehadiran keluarga Perron. Pelbagai perkara aneh juga sering berlaku. Katil beralih sendiri, telefon melayang-layang di udara, kerusi ditarik tiba-tiba, pintu ditutup dan dihempas sendiri serta banyak lagi. Barang-barang dalam rumah sering beralih walaupun keluarga Perron tidak mengusiknya. Acap kali juga barang-barang jatuh sendiri hingga pecah berderai.

Kejadian mulai serius apabila anak-anak Perron diganggu. Rambut dan kaki mereka sering ditarik semasa tidur. Ada kalanya tarikan itu kuat hingga menyakitkan kulit kepala. Tidur mereka juga sering dikejutkan dengan jeritan roh kanak-kanak yang memanggil ibunya sepanjang malam.

Carolyn sendiri pernah terjaga daripada tidur dan terkejut bila melihat bayangan seorang wanita tua tergantung di biliknya dengan wajah yang mengerikan. Matanya tersembul. Malah Carolyn mendengar dengan jelas wanita itu menghalaunya keluar dari rumah tersebut.

Rumah Dipenuhi Kematian

Semakin lama, gangguan itu mula bertindak kejam, terutama terhadap Carolyn. Dia sering ditampar, dicubit, bahkan dilempar dengan barangan secara tiba-tiba. Tidak tahan dengan gangguan itu, pasangan suami isteri itu mula menyiasat sejarah rumah tersebut.

Baru mereka tahu, rumah tersebut banyak terpalit dengan kematian. Ada lapan generasi keluarga yang pernah mendiami rumah tersebut sebelum kehadiran Perron sekeluarga. Kebanyakan keluarga yang menetap di rumah itu terbabit dengan kematian. Antaranya kes bunuh diri, keracunan, pemerkosaan, pembunuhan, lemas dan mati kesejukan.

Disebabkan itu, dikatakan banyak roh yang terperangkap dalam rumah tersebut. Keadaan tersebut tidak diketahui oleh keluarga Perron sebelum mereka berpindah masuk ke situ.

Foto rumah ladang ini yang diambil pada sekitar tahun 1885. Sudah banyak keluarga yang pernah menghuni rumah ini dan terlibat dengan kematian sebelum Carolyn sekeluarga membeli rumah tersebut.

Apabila gangguan kian serius hingga mendatangkan kecederaan, pasangan Perron memutuskan untuk mendapatkan bantuan. Mereka memanggil Ed dan Lorraine Warren, pasangan suami isteri yang terkenal sebagai penyelidik paranormal.

Siasatan  Warren mendapati, wanita tua yang sering mengganggu keluarga Perron adalah roh jahat bernama Bathsheba Thayer (juga dikenali sebagai Bathsheba Sherman). Roh inilah yang sering mengganggu kejam keluarga Perron hingga merasuk ke dalam tubuh badan Caroyln.

Ed Warren dan isterinya, Lorraine, ahli paranormal yang datang untuk membantu masalah dihadapi keluarga Perron.

Siapa Bathsheba?

Dia seorang wanita yang lahir di Rhode Island pada tahun 1812. Sudah berkahwin, suaminya seorang petani manakala Bathsheba hanyalah suri rumah. Mempunyai empat orang anak, tiga darinya mati ketika masih kecil. Tinggal di rumah ladang ini pada awal kurun ke-19.

Cerita mulut ke mulut mendakwa, Bathsheba seorang pemuja syaitan. Kononnya, anak-anaknya mati angkara ritual penyembahan syaitan yang dijalankannya. Bathsheba mati pada Mei 1885, empat tahun selepas kematian suaminya. Wanita itu mati kerana sakit tua dan disemadikan di tempat kelahirannya, Rhode Island.

Makam Batshsheba di Rhode Island.

Adakah kedatangan Ed dan Lorraine berjaya mengatasi masalah gangguan di rumah keluarga Perron? Tidak!

Kedatangan suami isteri paranormal itu menyebabkan roh Bathsheba marah dan menjadi semakin ganas. Lebih banyak kerosakan dilakukannya, termasuk merasuk tubuh Carolyn. Pada satu ketika, roh itu menguasai tubuh Carolyn dan membuat tubuh wanita itu dilambung-lambung ke segenap ruang bilik.

Bathsheba lebih banyak memunculkan diri, menunjukkan sosok wajahnya yang pucat dan merekah. Pada wajahnya juga ada torehan panjang. Lehernya pula seakan patah, terkulai sebelah.

Melihat keadaan meruncing yang membahayakan bininya, Roger meminta Ed dan Lorraine keluar dan tidak lagi datang ke rumah mereka lagi. Ya, mereka tidak berjaya menghalau roh jahat itu untuk pergi.

Tubuh Carolyn menjadi mangsa amukan roh Batshsheba sewaktu Ed dan Lorraine cuba mengusir roh tersebut.

Keluarga Perron pula terpaksa terus menduduki rumah tersebut kerana masalah kewangan menyebabkan mereka tidak mampu untuk berpindah. Sepanjang tempoh itu juga, mereka terpaksa menelan segala gangguan dan kerosakan yang disebabkan amukan roh dalam rumah tersebut. Hanya 10 tahun kemudian, iaitu pada tahun 1980, barulah keluarga Perron berjaya berpindah keluar dari situ.

Andrea Perron, anak pertama keluarga ini turut menghasilkan buku House of Darkness, House of Light yang menceritakan pengalaman seram keluarganya sepanjang tinggal di rumah ladang itu.

Pengalaman seram yang dilalui keluarga Perron turut diangkat ke layar perak melalui filem The Conjuring yang mendapat sambutan hebat pada tahun 2013. Filem ini mendapat kerjasama dari Lorraine yang bertindak sebagai konsultan berdasarkan pengalamannya bersama mendiang suaminya semasa berhadapan dengan kes paranormal yang melibatkan keluarga Perron.

Tetapi, pengakhiran kisah dalam filem itu tidak serupa seperti yang sebenarnya. Tiada istilah ‘happy ending’ dalam fenomena yang dialami keluarga Perron.

Andrea perron menulis buku yang menceritakan pengalaman seram keluarganya semasa tinggal di rumah itu.
Filem The Conjuring tahun 2013 diinspirasikan daripada kisah keluarga Perron.
Roh jahat yang mengganggu keluarga Perron yang digambarkan dalam filem tersebut.
Lima beradik Perron (sebelah atas) bergambar bersama pelakon kanak-kanak yang membawa watak diri mereka di dalam filem The Conjuring.
Rumah yang pernah diduduki keluarga Perron masih ada dan dikenali sebagai salah satu rumah berhantu di Amerika. Pemilik terbaru menjadikan rumah ini sebagai ‘hotel’ untuk mereka yang mahu merasai aktiviti paranormal di rumah tersebut.

__________

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram

FacebookTwitterEmailWhatsAppTelegramLinkedInShare


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram

Berkaitan

Angkara dengki, WAFA TV hilang daripada radar? Artis veteran terkejut dakwaan saluran disabotaj

BUKAN sekadar khabar angin atau andaian kosong, tetapi kisah yang semakin menjadi bualan dalam kalangan penggiat seni apabila saluran...

More Articles Like This