JUARA 33 kali Piala Malaysia, Selangor FC memulakan kempen Piala Malaysia dengan bergaya selepas bangkit daripada ketinggalan untuk menewaskan PDRM FC 4-1 pada perlawanan pertama pusingan 16 terbaik di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), malam ini.
Pada pertembungan itu, PDRM terlebih dahulu mengejutkan skuad Gergasi Merah apabila membuka jaringan menerusi penyerang Muhammad Hadi Fayyadh Abdul Razak pada minit ke-25 selepas mudah menolak masuk bola percubaan rakan sepasukan, Bruno Suzuki yang terkena palang.
Gol sulung perlawanan itu ternyata membakar semangat anak buah Eddy Gapil@Edwin apabila The Cops terus menguasai separuh masa pertama yang menyaksikan Selangor di bawah bimbingan Tan Cheng Hoe buntu dalam mencari jaringan penyamaan sehingga rehat.
Bersambung babak kedua, Selangor tampil dengan permainan lebih garang dan berdisiplin sebelum berjaya menyamakan kedudukan hasil penyudah penyerang import Ayron Del Valle Rodriguez pada minit ke-57 sebelum beliau sekali lagi meledak gol enam minit kemudian menerusi sepakan gunting dari jarak dekat.
Pemain pertahanan, Harith Haiqal Adam Afkar dan pemain gantian Yohandry Jose Orozco Cujia masing-masing tidak ketinggalan mencipta nama sebagai penjaring pada minit ke-74 dan masa kecederaan separuh masa kedua untuk mengesahkan kemenangan bergaya pasukan.
Kemenangan itu menyaksikan Selangor berjaya membalas dendam kekalahan 0-1 pada pertemuan Liga Super Jun lepas, malah membawa bekalan selesa menjelang aksi timbal balik di venue sama 19 Ogos ini.
Dalam pada itu, Juara 2021 Kuala Lumpur City FC (KL City) membawa bekalan selesa menjelang aksi kedua selepas membenam Penang FC 4-0 di Stadium Bandaraya, Pulau Pinang.
Empat gol KL City masing-masing dijaringkan Tchetche Kipre pada minit keempat dan ke-26 diikuti Zhafri Yahya pada minit ke-31 sebelum Romel Morales menjaringkan gol tunggal babak kedua pada minit ke-84.
— BERNAMA
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

