PARTI Amanah Negara (Amanah) Johor telah pun mengenal pasti dan menyenarai pendek calon-calon untuk bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram, 9 September depan.
Pengerui Amanah Johor, Aminolhuda Hassan memaklumkan, senarai calon itu akan diserahkan kepada pimpinan pusat parti berkenaan, esok.
Menurut Aminolhuda, pihaknya turut giat melakukan persiapan rapi menjelang PRK bagi kedua-dua kerusi tersebut.
Pada masa sama, beliau berkata, pertemuan dengan Pengerusi UMNO Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin akan diadakan Jumaat ini bagi menggerakan jentera Pakatan Harapan (PH)-Barisan Nasional (BN).
“Pimpinan AMANAH pusat akan membuat penilaian bagi menentukan calon di dua kerusi berkenaan, selepas kita menyerahkan senarai nama calon esok.
“Pimpinan pusat mempunyai penilaian tersendiri, malah boleh sahaja meneliti nama lain bagi bertanding di dua kerusi berkenaan.
“Namun, AMANAH perlu lebih teliti dan berhati-hati dalam menentukan calon di dua kerusi berkenaan kita mahukan hanya calon terbaik bertanding, bagi menarik perhatian pengundi di negeri ini yang agak berbeza dengan negeri lain,” katanya seperti dilaporkan BH Online.
Baca artikel berkaitan: Amanah mahu anak tempatan tanding di Pulai, Simpang Jeram
Mengulas mengenai peningkatan sokongan terhadap Perikatan Nasional (PN) seperti yang berlaku pada Pilihan Raya Negeri (PRN), kelmarin, Aminolhuda berkata perkara itu tidak boleh dipandang ringan.
Beliau turut menjangkakan peningkatan sokongan terhadap PN akan turut berlaku di Johor.
“Sangat penting bagi parti menurunkan calon terbaik dan tepat bagi menarik perhatian pengundi di Johor.
“Johor ini unik dan berbeza kerana pengundi bukan sahaja tidak gemar kepada cara kempen yang agresif dan kenterlaluan, malah lebih suka kepada kesederhanaan dan tidak berlebih-lebihan.
“Kita akan memastikan kempen dan pendekatan menarik undi jentera PH-BN nanti lebih sederhana, tidak melakukan provokasi, selain tidak melukakan mana-mana pihak termasuk lawan,” katanya.
PRK bagi Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram diadakan susulan kekosongan luar jangka kerana kematian penyandangnya, Datuk Seri Salahuddin Ayub pada 23 Julai lalu.
Salahuddin, 61, yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup meninggal dunia di Hospital Sultanah Bahiyah di Alor Setar, Kedah pada pukul 9.23 malam setelah ditidurkan selepas menjalani pembedahan akibat pendarahan otak.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

