ISU ‘pemutihan’ 200 sekolah agama di Selangor bukanlah bertujuan untuk membuat penutupan seperti yang digembar-gemburkan pihak tidak bertanggungjawab.
Sebaliknya, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Skudai, Marina Ibrahim menjelaskan, pemutihan itu dilakukan bagi mengatasi isu sekolah agama tidak berdaftar.
Marina yang juga Penolong Setiausaha Publisiti DAP berkata, kebanyakan sekolah agama yang tidak berdaftar itu tidak mematuhi aspek yang ditetapkan kerajaan sama ada dari sudut keselamatan dan kualiti pendidikan.
“Untuk meningkatkan kualiti sekolah tersebut bukan sahaja dari segi pendidikan, tapi dari segi keselamatan juga.
“Sebelum pihak berkuasa tempatan (PBT) atau Jabatan Agama nak ambil tindakan, mereka akan berikan notis pemakluman. Garis panduan juga dah disediakan untuk pihak berkenaan patuhi.
“Macam isu yang berlaku, siap ada lanjutan tiga tahun lagi. Kalau beratus sekolah agama persendirian yang lain boleh berdaftar, apa sebab sesetengahnya tidak boleh patuh undang-undang?,” katanya menerusi kenyataan yang dimuatnaik di akaun media sosial.
Baca juga: Pengarah J-KOM tidak kompetif, wajar ditukar – Marina
Mengulas lanjut, Marina berkata, antara persoalan mengenai sekolah agama tidak berdaftar adalah pihak yang akan memantau silibus yang diajarkan kepada murid-murid.
Selain itu, katanya, persoalan sama ada tenaga pengajar mempunyai tauliah untuk mengajar ataupun tidak memandangkan begitu ramai ustaz segera ketika ini.
“Selain itu, aspek keselamatan. Siapa yang semak rekod tenaga pengajar? Jika dia ada lakukan kesalahan di sekolah-sekolah persendirian lain bagaimana? Terlibat kes pencabulan yang didiamkan dan sebagainya?,” katanya.
Terdahulu, tular di media sosial video yang mendakwa 200 sekolah agama di Selangor akan ditutup.
Mengulas mengenai dakwaan itu, Datuk Seri Amirudin Shaari menegaskan bahawa ia merupakan fitnah yang tidak berasas.
Amirudin yang juga ADUN Sungai Tua berkata, beliau telah memberi penjelasan mengenai perkara tersebut pada Julai lalu.
Julai lalu, Amirudin menegaskan tiada satu pun notis merobohkan mana-mana sekolah agama persendirian dikeluarkan pentadbiran negeri seperti dakwaan pihak tertentu.
Sebaliknya, Kerajaan Negeri berusaha menambah baik garis panduan pusat pendidikan agama bagi memastikan tahap keselamatan murid terjamin.
Usaha berkenaan dibuat berasaskan titah Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor berikutan tragedi kebakaran pusat tahfiz pada 2018 yang meragut 23 nyawa dan mencederakan lima murid.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan wartawan di UtusanTV dengan pengalaman 11 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital. Sebelum menyertai UtusanTV pada Januari 2022, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media arus perdana dan portal berita lain sejak 2015. Sepanjang kerjaya, penulis telah menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu seperti jenayah, politik, perkembangan semasa dan hiburan.

