NAHAS yang melibatkan sebuah pesawat ringan jenis Beechcraft model 390 (Premier 1) di Lebuhraya Guthrie dekat Bandar Elmina Khamis lalu sehingga mengorbankan 10 nyawa itu buat masa ini masih diklasifikasikan sebagai kemalangan udara.
Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan berkata pihaknya bagaimanapun akan menunggu laporan awal daripada Biro Siasatan Kemalangan Udara (BSKU) yang dijangkakan selesai dalam masa sebulan lagi.
“Seperti yang saya maklumkan sebelum ini, siasatan polis adalah menjurus kepada isu kematian termasuk pengecaman jenazah dan mengembalikan jenazah kepada ahli keluarga.
“Berkaitan kemalangan itu, ia adalah di bawah bidang kuasa BSKU. Pasukan mereka akan menyiasat punca kejadian dan sebagainya.
“Nahas itu buat masa sekarang masih diklasifikasikan sebagai kemalangan udara. Setakat ini kita masih belum nampak wujud sebarang unsur selain daripada kemalangan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu sidang media di Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Selangor, hari ini.
Mengulas lanjut, pihaknya masih mengharapkan mana-mana individu di luar sana yang mempunyai bahan-bahan bukti bagi insiden nahas pesawat ringan itu untuk tampil memberi keterangan.
Hussein berkata, pihaknya masih memerlukan bantuan daripada individu-individu yang berkenaan bagi membantu proses siasatan kes itu.
“Setakat ini kita telah ambil keterangan daripada tiga individu (yang mempunyai rakaman ketika kejadian).
“Bagaimanapun pihak polis masih berharap orang ramai di luar sana yang mempunyai bahan-bahan ketika kejadian untuk tampil ke hadapan bagi membantu siasatan,” ulasnya.
Tambah beliau, bangkai pesawat yang ditinggalkan di tempat kejadian sejak petang Jumaat lalu bagi memberi laluan kepada BSKU melakukan siasatan telah dibawa keluar oleh pihak itu.
Operasi membawa keluar bangkai dan serpihan pesawat oleh biro siasatan itu selesai pada petang semalam.
“Pihak polis juga sudah menghentikan kawalan di sekitar bangkai pesawat itu sejak malam tadi,” ujarnya.
Khamis lepas, pesawat Beechcraft Model 390 (Premier 1) terhempas di Lebuhraya Guthrie berdekatan Bandar Elmina mengorbankan 10 individu termasuk Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Negeri Pahang Datuk Seri Johari Harun.
Mangsa yang maut terdiri daripada enam penumpang dan dua kru pesawat ringan itu, manakala dua lagi merupakan orang awam, masing-masing penunggang motosikal dan pemandu kereta yang lalu di situ semasa kejadian.
Ketika insiden berlaku, pesawat malang itu dalam penerbangan dari Langkawi ke Subang dan telah mendapat pelepasan untuk mendarat pada 2.48 petang.

Penulis merupakan Pengarang Multimedia/wartawan di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama lima tahun dalam dunia kewartawanan.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2023, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat penyiaran/portal lain sejak tahun 2021.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama mahkamah, jenayah dan politik.

