POLIS Diraja Malaysia (PDRM) menjalankan siasatan terhadap kenyataan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin yang didakwa mengeluarkan ‘fatwa’ haram mengundi calon Pakatan Harapan (PH), baru-baru ini.
Perkara itu disahkan Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain seperti yang dilaporkan BH Online, hari ini.
Menurut Razarudin, siasatan sedang dijalankan Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman.
Beliau berkata, pihaknya telah menerima satu laporan berhubung kenyataan Muhyiddin itu, semalam.
Razarudin memaklumkan, Muhyiddin disiasat di bawah Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan kerana mengeluarkan kenyataan yang menyebabkan ketakutan dan kegentaran awam.
Pada masa sama, siasatan turut dijalankan mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998.
“Ya kita ada terima satu laporan polis dan kita sudah buat siasatan.
“Kita akan panggil beliau (Muhyiddin) dalam masa terdekat,” katanya.
Baca artikel berkaitan: Muhyiddin perlu bertaubat – Tok Mat
Terdahulu, tular satu video dalam media sosial menunjukkan bekas Perdana Menteri itu dikatakan mengeluarkan ‘fatwa’ haram mengundi calon PH, Suhaizan Kayat.
Muhyiddin didakwa berkata sedemikian ketika berucap dalam kempen ceramah Pilihan Raya Kecil (PRK) Pulai di Nusa Bestari, Johor Bahru, kelmarin.
Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu mendakwa, ia sebagai menunjukkan bantahan dan kemarahan pengundi di Parlimen Pulai berikutan Kerajaan Perpaduan tidak membantu rakyat dalam kesusahan.
“Jangan bagi satu undi pun pada pihak Suhaizan Kayat (calon PH di Parlimen Pulai), bekas Speaker (DUN Johor). Jangan bagi satu undi pun.
“Saya bagi hukum haram. Ada yang esok mencabar saya ini, ikut fatwa mana. Namun tak boleh (undi) kerana situasi yang sudah berlaku sekarang, sudah sembilan bulan berlalu ujian (bagi rakyat) macam soal kenaikan harga barang,” katanya.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

