PULAU Pinang akan terus teguh menyokong usaha kerajaan Pusat merancang dan melaksanakan agenda pembangunan negara yang mampan, selaras aspirasi Malaysia MADANI, wadah Ekonomi MADANI: Memperkasa Rakyat serta Agenda Pembangunan Mampan 2030.
Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika ini telah menambah RM15 bilion ke dalam peruntukan RM400 bilion di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) demi menoktahkan kemiskinan tegar, menyelesaikan masalah asas prasarana dan keperluan asas rakyat, menjamin bekalan air bersih dan sebagainya.
“Siling perbelanjaan RMK-12 ini telah mengambil kira jangkaan kekal dalam sasaran defisit 3.5 peratus menjelang 2025 yang penting bagi pembangunan ekonomi negara termasuk di negeri ini, memandangkan ekonomi Pulau Pinang bertumbuh sebanyak 13.1 peratus pada 2022 berbanding 6.9 peratus pada tahun sebelumnya, dengan nilai KDNK (Keluaran Dalam Negara Kasar) sebanyak RM112.1 bilion.
“Lazimnya, sektor pembuatan menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi tertinggi yang mencatatkan peningkatan sepanjang tahun lepas iaitu sebanyak 15.9 peratus, berbanding 12.4 peratus pada tahun sebelumnya,” katanya ketika berucap pada Majlis Sambutan Hari Malaysia peringkat Pulau Pinang di Dewan Millenium, hari ini.
Majlis sambutan itu, yang turut dihadiri Yang Dipertua Negeri Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak bersama isteri Toh Puan Khadijah Mohd Nor, berlangsung sederhana namun meriah dengan persembahan kebudayaan pelbagai kaum.
Baca juga: RMK12 santuni semua kumpulan sasar, imbangi kebahagian jasmani dan rohani – Ahmad Zahid
Chow berkata, dalam menyemarakkan lagi semangat patriotik dan kepelbagaian dalam negara, Pulau Pinang juga tidak ketinggalan untuk meraikan hari bersejarah iaitu Hari Malaysia di peringkat negeri.
“Mengambil semangat tema Hari Kebangsaan tahun ini iaitu Malaysia MADANI: Tekad Perpaduan, Penuhi Harapan, selain menghargai ketabahan warga Malaysia mengharungi cabaran dan dugaan yang melanda negara, ia juga merupakan iltizam negara untuk membentuk warga Malaysia yang bersatu padu, saling hormat-menghormati serta meraikan kepelbagaian.
“Ia dipacu oleh Kerangka Malaysia MADANI yang menjadi pemangkin kepada masyarakat yang maju dan bertamadun berdasarkan ilmu pengetahuan, tradisi, khazanah dah kearifan tempatan,” katanya.
Katanya, keamanan dan perpaduan yang dikecapi kini adalah hasil usaha serta kerja keras para pejuang kemerdekaan dan segenap masyarakat di negeri ini dengan tekad yang satu, iaitu memastikan kemakmuran, kesejahteraan dan kemajuan negeri ini sentiasa terpelihara.
— BERNAMA
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

