KETUA Pemuda Perikatan Nasional (PN), Ahmad Fadhli Shaari mencadangkan agar Barisan Nasional (BN) mencalonkan Datuk Seri Ahmad Said untuk bertanding merebut kerusi Parlimen Kemaman.
Hal itu selepas Mahkamah Pilihan Raya Terengganu hari ini membatalkan kemenangan Ahli Parlimen Kemaman, Che Alias Hamid yang mewakili Pas pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Ahmad Fadhli berkata, beliau menghormati keputusan mahkamah itu dan menyerahkan kepada perbincangan peringkat tertinggi parti sama ada mahu merayu atau tidak.
“Sekiranya parti ambil keputusan untuk tidak merayu bagi menjimatkan masa, sudah tentu akan berlaku pilihan raya kecil dan wang rakyat terpaksa digunakan untuk mengendalikan pilihan raya kecil ini.
“Namun, kita berikrar akan pertahankan Parlimen Kemaman sekali lagi dalam pilihan raya kecil dengan majoriti yang lebih besar insya-Allah,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Baca juga: BN Terengganu tak serik kalah, siap sedia lawan di Kemaman
Mengulas lanjut, Ahmad Fadhli turut menyifatkan tindakan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan peruntukan kerajaan semasa musim pilihan raya dianggap sebagai bukan rasuah adalah pelik.
Beliau berkata, hal itu memandangkan mahkamah hari ini telah memutuskan segala macam bentuk bantuan kerajaan negeri ketika kempen pilihan raya adalah satu bentuk sogokan yang bertujuan mempengaruhi pengundi.
Untuk rekod, pada PRU15 November 2022, Che Alias memenangi kerusi Parlimen Kemaman selepas memperoleh 65,714 undi menewaskan Ahmad yang mendapat undi sebanyak 38,535 dengan majoriti 27,179 undi.
Dua lagi calon yang bertanding di Parlimen itu, Rosli Ab. Ghani (Pejuang) dan Hasuni Sudin (Pakatan Harapan) masing-masing mendapat undi sebanyak 506 dan 8,340 undi.
Pada 3 Januari lepas, Ahmad yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) Terengganu memberitahu, pihaknya memfailkan petisyen memohon mahkamah membatalkan keputusan PRU15 melibatkan Parlimen Marang, Kemaman dan Kuala Terengganu.
Ahmad dilaporkan berkata, petisyen itu difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu kerana pihaknya mendakwa berlakunya pengagihan wang secara berleluasa di ketiga-tiga kawasan itu.
Bagaimanapun, pada 12 Februari Mahkamah Pilihan Raya Terengganu menolak petisyen yang dikemukakan BN setelah menerima bantahan awal yang dikemukakan oleh responden dan mengekalkan kemenangan Che Alias di Parlimen Kemaman pada PRU15.
Setiausaha Lajnah Undang-Undang dan Hak Asasi (Luham) PAS Pusat Ahmad Lufti Awang dilaporkan berkata, Hakim Datuk Mohamad Abazafree Mohd Abbas turut memerintahkan pempetisyen membayar kos RM30,000 kepada Che Alias, dalam prosiding yang diadakan secara dalam talian.
Namun, pada 2 Mei lepas, Mahkamah Persekutuan memerintahkan petisyen pilihan raya yang difailkan untuk mencabar keputusan PRU15 bagi Parlimen Kemaman itu dikembalikan ke Mahkamah Tinggi untuk perbicaraan penuh.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan wartawan di UtusanTV dengan pengalaman 11 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital. Sebelum menyertai UtusanTV pada Januari 2022, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media arus perdana dan portal berita lain sejak 2015. Sepanjang kerjaya, penulis telah menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu seperti jenayah, politik, perkembangan semasa dan hiburan.

