MONSTA cipta sejarah disenarai finalis WIPO Global Awards 2026

Izzat Nasuruden
Izzat Nasuruden
Penulis merupakan wartawan di UtusanTV dengan pengalaman 11 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital. Sebelum menyertai UtusanTV pada Januari 2022, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media arus perdana dan portal berita lain sejak 2015. Sepanjang kerjaya, penulis telah menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu seperti jenayah, politik, perkembangan semasa dan hiburan.

Dari Penulis

SYARIKAT animasi tempatan, MONSTA mencipta sejarah apabila disenaraikan sebagai finalis WIPO Global Awards 2026, sekali gus mengharumkan nama Malaysia di pentas antarabangsa.

Ketua Pengarah MyIPO, Yusnieza Syarmila Yusoff berkata, kejayaan itu membuktikan karya kreatif dan aset intelek yang dibangunkan syarikat tempatan mampu mempunyai nilai komersial tinggi serta memberi impak global.

Katanya, pencapaian MONSTA menjadi bukti bahawa syarikat Malaysia mampu bersaing di peringkat dunia apabila pengurusan dan pengkomersialan harta intelek dilaksanakan secara strategik.

“Kejayaan MONSTA sebagai finalis WIPO Global Awards 2026 membuktikan pengiktirafan antarabangsa terhadap keupayaan syarikat tempatan.

“Ia juga menunjukkan bahawa harta intelek yang dibangunkan di Malaysia mempunyai nilai dan potensi global yang besar,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, WIPO Global Awards adalah anugerah berprestij anjuran Pertubuhan Harta Intelek Sedunia (WIPO) yang mengiktiraf perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta syarikat pemula yang berjaya memanfaatkan harta intelek sebagai pemacu inovasi dan pertumbuhan ekonomi.

Menurutnya, Malaysia turut mencatat pencapaian membanggakan apabila merekodkan 27 penyertaan bagi edisi 2026, jumlah tertinggi sejak anugerah itu diperkenalkan.

“Lonjakan penyertaan ini meletakkan Malaysia dalam kelompok 10 negara teratas dunia dengan jumlah permohonan tertinggi, sebaris dengan negara seperti China, Amerika Syarikat, India dan Korea,” katanya.

Yusnieza Syarmila menambah, penyertaan syarikat tempatan merangkumi pelbagai sektor termasuk agromakanan, alam sekitar, teknologi maklumat dan komunikasi (ICT), industri kreatif serta kesihatan.

Beliau berkata, data penyertaan juga menunjukkan perkembangan positif apabila 41 peratus entiti yang mengambil bahagian diterajui usahawan wanita manakala 19 peratus lagi dipimpin usahawan belia.

“Perkembangan ini membuktikan harta intelek kini menjadi elemen strategik merentas pelbagai industri dan negara berada di landasan yang betul untuk memacu ekonomi bernilai tinggi berteraskan inovasi domestik,” katanya.

Yusnieza Syarmila berkata, MONSTA sebelum ini turut meraih tiga anugerah utama pada Anugerah Harta Intelek Negara 2026 bagi kategori Organisasi Pengurusan Harta Intelek, Juara Jenama (Cap Dagangan) dan Nadi Kreatif (Hak Cipta).

Beliau berkata, MyIPO komited membantu lebih banyak syarikat tempatan memanfaatkan harta intelek sebagai aset strategik perniagaan bagi meningkatkan daya saing global.

Untuk rekod, WIPO Global Awards 2026 menyenarai pendek 33 finalis antarabangsa daripada 126 negara, dengan pemenang dijadual diumumkan sempena Perhimpunan Agung WIPO di Geneva, Switzerland pada awal Julai depan.


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram

Berkaitan

Kerajaan lanjut perjanjian cari MH370 setahun lagi, kekal konsep ‘no find, no fee’

JEMAAH Menteri bersetuju melanjutkan perjanjian antara Kerajaan Malaysia dengan syarikat Ocean Infinity bagi meneruskan usaha pencarian bangkai pesawat Malaysia...

More Articles Like This