DUA peserta program All Stars Gegar Vaganza (ASGV), Cliff Umar dan Suki Low tersingkir pada minggu kedua pertandingan tersebut, semalam.
Cliff yang merupakan juara GV8 mempersembahkan lagu Laskar Cinta manakala Suki pula membawakan lagu Tak Ingin Usai.
Kedua-dua mereka berada pada kedudukan tercorot berbanding 14 peserta lain.
Bagi Cliff atau Cliff Umar Joseph,41, dia menzahirkan kesyukuran kerana diberikan peluang untuk beraksi di pentas yang pernah mengangkat dirinya sebagai pemenang.
“Terima kasih atas pengalaman ini terutamanya kepada juri-juri yang bagi saya, peluang untuk bekerja dengan mereka adalah peluang berharga.
“Kepada peminat-peminat saya, teruskan rock!” katanya.
Juri tetap iaitu Datuk Syafinaz Selamat berpendapat nyanyian Cliff pada malam tersebut kurang memikat hati barisan juri selain banyak nota yang mendatar.
Sementara itu, Suki yang terpilih bertanding dalam ASGV menerusi pemilihan ‘hot seat’ meluahkan rasa kesal dengan persembahannya di minggu kedua.
“Terima kasih kepada yang menyokong. Saya minta maaf kerana tak dapat bawakan seperti jangkaan anda.
“Saya sendiri pun agak kecewa, tapi saya akan terus hiburkan anda,” ujarnya.
Penyanyi Hady Mirza mencatatkan markah tertinggai iaitu 79 peratus diikuti Jaclyn Victor (75.5 peratus) dan Azharina (74.5 peratus).
ASGV yang berlangsung di Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) pada setiap Ahad itu dihoskan oleh Nabil Ahmad, Jihan Muse dan Elly Mazlein.

