KEMENTERIAN Dalam Negeri (KDN) menggariskan peningkatan keupayaan aset dan aspek kebajikan pegawai serta anggota penguatkuasaan sebagai keutamaan pada Belanjawan 2024.
Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata KDN pada Belanjawan 2023 berada di kedudukan ketiga, iaitu selepas Kementerian Kesihatan dan Kementerian Pendidikan.
“Untuk aspek kebajikan, misalnya pada Belanjawan 2023, diumumkan peruntukan RM500 juta bagi naik taraf kuarters yang dikongsi antara KDN dan Kementerian Pertahanan tetapi jika dilihat peruntukan yang diumumkan di luar tempoh Belanjawan ialah hampir RM200 juta.
“Kita berharap fokus sama dapat diberikan pada belanjawan tahun depan selain berkaitan peningkatan keupayaan aset agensi penguatkuasaan di bawah KDN kerana aset ini yang akan meningkatkan kualiti perkhidmatan kita. Itu harapan kami,” katanya.
Saifuddin Nasution berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Depot Imigresen Kemayan, Bera yang turut dihadiri Ketua Setiausaha KDN, Datuk Ruji Ubi dan Ketua Pengarah Jabatan Imigresen, Datuk Ruslin Jusoh.
Selain itu, Saifuddin Nasution berharap cadangan supaya diwujudkan tiga lagi Baitul Mahabbah iaitu tempat penempatan khas kanak-kanak yang dipindahkan dari depot Imigresen juga dapat dipenuhi tahun depan.
Tiga lokasi yang dicadangkan ialah masing-masing sebuah di Semenanjung, Sabah dan Sarawak dan Saifuddin Nasution berkata penempatan itu membolehkan kanak-kanak berusia bawah 18 tahun berada di premis yang lebih manusiawi.
Baca artikel berkaitan: Belanjawan 2024: Ekosistem syarikat permulaan, teknologi baharu, STEM dalam cadangan MOSTI
Saifuddin Nasution berkata setakat 28 Sept lepas, seramai 11,342 tahanan berada di 19 depot imigresen seluruh negara melibatkan 7,751 lelaki, wanita (2,092 orang), kanak-kanak lelaki (846 orang) dan kanak-kanak perempuan (653 orang).
Beliau berkata bagi tempoh sama seramai 46,150 tahanan telah dihantar pulang melibatkan 34,111 lelaki, wanita (9,896 orang); kanak-kanak lelaki (1,327 orang); dan kanak-kanak perempuan (816 orang).
Ditanya mengenai pendaftaran pelarian yang dipertanggungjawabkan kepada imigresen, Saifuddin Nasution berkata setakat ini, hampir 40,000 pelarian telah didaftarkan di bawah Sistem Pengesan Maklumat Pelarian (TRIS), namun angka itu tidak mencerminkan jumlah sebenar pelarian di negara ini.
“Data Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) menyatakan jumlah (pelarian) di Malaysia mencecah 190,000 orang. Perhatikan jurang antara inisiatif kita (mendaftar pelarian) dengan data mereka,” katanya.
— BERNAMA
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

