PENGEMASKINIAN Pelan Tindakan Jerebu Kebangsaan (PTJK) dilaksanakan dengan tujuan mempercepatkan tindakan yang perlu diambil agensi yang terlibat dalam pengurusan bencana jerebu, kata Ketua Pengarah Alam Sekitar Malaysia Datuk Wan Abdul Latiff Wan Jaffar.
Beliau berkata berdasarkan pelan berkenaan, antara tindakan yang perlu dilaksanakan adalah Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) akan mengaktifkan Jawatankuasa Pengurusan Bencana di peringkat daerah, negeri atau pusat apabila bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) melebihi 150 bagi tempoh lebih daripada 24 jam.
“Selain itu, semua aktiviti di luar bilik darjah dihentikan apabila bacaan IPU melebihi 100. Sekolah, tadika dan taska ditutup serta-merta apabila bacaan IPU melebihi 200. Bagi tujuan ini, pihak sekolah, tadika dan taska dikehendaki sentiasa memantau bacaan IPU.
Baca artikel lain: Subsidi RM400 juta untuk premis kerajaan guna beras import – Anwar
“Sekiranya trend bacaan menunjukkan peningkatan ke arah 200 persediaan perlu dilaksanakan untuk menutup sekolah, tadika dan taska yang berkenaan. Operasi Pembenihan Awan (OPA) akan dilakukan tertakluk kepada kehadiran awan dan cuaca yang sesuai pada bacaan IPU melebihi 150 bagi tempoh lebih daripada 24 jam,” katanya dalam kenyatan hari ini.
Dalam kenyataan sama, Wan Abdul Latiff berkata setakat 6 petang ini, IPU menunjukkan satu kawasan mencatatkan status kualiti udara pada tahap baik dan 56 kawasan mencatatkan status kualiti udara pada tahap sederhana.
“Sebelas stesen mencatatkan bacaan IPU pada tahap tidak sihat (101 hingga 200) hari ini iaitu Batu Muda dan Cheras, Kuala Lumpur; Putrajaya; Petaling Jaya, Johan Setia, Shah Alam, Klang dan Banting, Selangor; Seremban, Nilai dan Port Dickson, Negeri Sembilan,” katanya.
— BERNAMA
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

