OLEH: PROF. MADYA. DR. NURAZILAH ZAINAL
PADA 13 Oktober yang lepas, kerajaan Malaysia melalui Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah membentangkan Belanjawan 2024.
Secara keseluruhan Belanjawan 2024 yang bertemakan reformasi ekonomi, memperkasa rakyat ini telah memperuntukkan sejumlah RM 393 billion yang juga merupakan belanjawan yang terbesar pada masa ini.
Antara yang menjadi tarikan utama dalam belanjawan kali ini adalah kadar bantuan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dinaikkan jumlah maksimum dari RM3,100 kepada RM3,700 dan pemberian STR ini memberi manfaat kepada hampir 60 peratus penduduk dewasa Malaysia.
Selain itu, kerajaan memperuntukkan RM400 juta untuk program pengukuhan keterjaminan makanan yang memberi tumpuan khusus untuk meningkatkan pengeluaran tanaman makanan tempatan.
Seterusnya, hadiah lumayan buat semua pekerja sektor awam apabila mereka akan menerima bayaran insentif awal sebanyak RM2,000 dan pesara sebanyak RM1,000.
Sasaran 60 peratus penglibatan wanita dalam pekerjaan
Pelbagai lapisan masyarakat mendapat manfaat dari belanjawan yang dibentangkan dan ini termasuklah golongan yang bergelar wanita. Melalui Belanjawan 2024, Kerangka Ekonomi MADANI telah menetapkan sasaran 60 peratus penglibatan wanita dalam tenaga buruh.
Separuh daripada populasi Malaysia adalah wanita. Jika usaha pemerkasaan mereka tidak mencapai tahap tinggi, negara akan kehilangan separuh sumber modal insan yang boleh menjana ekonomi.
Mengikut statistik, kadar penglibatan wanita dalam pekerjaan masih di tahap rendah iaitu berada pada kedudukan kelapan yang paling belakang dalam negara ASEAN.
Peka dengan perkara ini, kerajaan telah mencadangkan pengecualian cukai pendapatan terhadap elaun penjagaan anak yang diterima kepada wanita kembali bekerja disambung sehingga tahun 2027.
Elaun ini juga telah meningkat dari RM2,400 kepada RM 3,000. Bagi menggalakkan para wanita kembali bekerja, kerajaan juga telah memperuntukkan RM586 juta kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat bagi penubuhan tambahan 10 tadika dan taska KEMAS.
Kerajaan juga memperuntukkan RM82 juta untuk membuka 26 buah pra sekolah yang baru. Jadi, dengan kemudahan ini, tiada lagi kekangan bagi para wanita untuk kembali bekerja dan mempunyai pendapatan sendiri bagi mengukuhkan ekonomi keluarga.
Peruntukan RM720 juta bantuan perniagaan dan pinjaman
Peruntukan untuk menggalakkan penglibatan golongan wanita dan belia dalam bidang perniagaan dinaikkan daripada RM300 juta dalam Belanjawan 2023 kepada RM720 juta dalam Belanjawan 2024. Dana ini disalurkan melalui agensi yang telah dilantik kerajaan iaitu Bank Negara Malaysia, Bank Simpoanan Nasional dan TEKUN.
Antara cabaran-cabaran yang sering dihadapi oleh usahawan mikro wanita ini adalah kekurangan sumber modal apabila golongan ini agak sukar untuk mendapatkan pinjaman dari bank komersial kerana mereka tiada struktur kewangan yang kukuh.
Selain itu, peralatan perniagaan yang tidak mencukupi bagi menampung pengeluaran, pengetahuan teknikal yang kurang dan ilmu pemasaran yang lemah juga merupakan antara masalah yang dihadapi oleh para ushawan wanita.
Jadi para usahawan wanita haruslah merebut peluang ini dengan memanfaatkan sepenuhnya peruntukan bantuan perniagaan dan bantuan kewangan bagi mengatasi semua cabaran yang ada.
Sebagai contoh, para usahawan wanita boleh memanfaatkan bantuan kewangan ini dengan membeli peralatan perniagaan bagi menambah hasil jualan, menambah ilmu dengan pergi ke kursus-kursus pendigitalan perniagaan dan kursus strategi pemasaran yang lebih berkesan.
Kesemua usaha ini dapat membantu meningkatkan prestasi perniagaan yang dijalankan oleh usahawan wanita itu sendiri.
Wanita harus bangkit, tonggak ekonomi negara
Hakikatnya, seorang wanita itu sememangnya kuat dari segi mental dan rohaninya.
Seseorang wanita sama ada sudah mempunyai pasangan atau tidak, mereka perlu berdikari dengan mempunyai pendapatan sendiri dan tidak tergantung sepenuhnya kepada suami mahupun orang lain.
Bak kata pepatah langit tidak selalunya cerah, awan tidak selalunya mendung, sebagai seorang wanita perlu sentiasa dalam keadaan bersedia bagi mengharungi segala kemungkinan yang akan terjadi dalam hidup. I
ni termasuklah kehilangan suami (sama ada meninggal dunia atau bercerai), keganasan rumah tangga dan sebagainya.
Jadi apabila seseorang wanita itu mempunyai profession dan pendapatan sendiri, sudah tentu wanita yang juga seorang ibu dapat memastikan kelangsungan hidup keluarga terjamin dan kebajikan anak-anak-akan terpelihara dalam apa jua keadaan sekalipun.
Penulis merupakan Felo Penyelidik International Centre for Education in Islamic Finance (Inceif), Universiti Teknologi Mara (UiTM)
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

