TIMBALAN Presiden Pas Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man hari ini membidas saranan Ahli Parlimen Kepong, Lim Lip Eng yang mahukan Pas menerima Malaysia sebagai sebuah negara sekular bagi tujuan menarik sokongan bukan Melayu.
Tegas beliau, Malaysia bukanlah negara sekular atas sebab itulah manifesto DAP sendiri ada menjelaskan mengenai matlamat parti itu untuk ‘memperjuangkan Malaysia sebagai sebuah negara sekular’.
“Malaysia bukan negara sekular.. kalau Malaysia negara sekular, apa perlu DAP masukkan dalam manifesto mereka memperjuangkan sebuah negara sekular? Itu manifesto DAP sendiri. Islam adalah agama rasmi persekutuan. Keduanya, adalah Malaysian Malaysia, tidak ada orang Melayu boleh terima konsep kesamarataan,” katanya pada sidang media di Muktamar Tahunan Pas Kali Ke-69 di Shah Alam hari ini.
Dalam kenyataannya hari ini Lip Eng minta Pas dan Presidennya, Tan Sri Abdul Hadi Awang supaya menerima bahawa Malaysia adalah negara sekular yang menjadikan Islam sebagai agama rasmi persekutuan.
Kata beliau, ia antara tiga cadangan yang perlu dilakukan Pas jika berhasrat mahu mendapatkan sokongan bukan Melayu.
Lip Eng turut menggesa pimpinan Pas supaya berhenti memanggil bukan Islam sebagai kafir kerana perkataan itu memberi persepsi buruk kepada kaum lain.
Menjawab itu, Tuan Ibrahim menegaskan, perkataan kafir adalah istilah dari segi akidah.
“Selain daripada Islam, ialah bukan Islam dan bukan Islam ini ialah kafirlah, maknanya yang menutupi kebenaran… kebenaran Islam itu tidak nampak.
“Tanggungjawab Islam, Islam tak paksa seseorang itu masuk Islam, tetapi Islam itu membuka apa yang ditutup dan selepas dibuka, terpulang kepada masyarakat itu untuk menerima atau sebaliknya,” katanya.
Beliau berkata, kafir terbahagi kepada tiga jenis iaitu kafir antiIslam dan memerangi Islam, kafir yang baik dengan umat Islam dan ketiga ialah bukan Islam yang mempunyai perjanjian damai dengan orang Islam.
“Kalau orang bukan Islam di Malaysia, yang baik dengan orang Islam, yang baik hidup bermasyarakat, dia kafir yang baik tetapi mungkin ada di sana yang dia memang anti.
‘’Anti itu yang Presiden Pas sebut sebagai ekstremis, itu pun kita tidak kategori dia sebagai kafir harbi,” katanya.

