PIHAK berkuasa Arab Saudi akan mengutip sebanyak SR4 (RM5.09) bagi setiap tiket daripada penumpang yang menggunakan perkhidmatan Projek Bas Mekah berkuatkuasa 1 November ini.
Perkara itu diumumkan oleh Pusat Pengangkutan Am di bawah Suruhanjaya Diraja bagi Kota Mekah dan Tempat Suci (RCMC) pada Ahad.
Walaupun RCMC secara rasmi melancarkan projek itu pada Ahad selepas tamat tempoh percubaannya, pelancaran sebenar perkhidmatan berbayar bersepadu itu hanya bermula pada 1 November.
Kadar tambang baharu SR4 akan merangkumi semua perkhidmatan bersepadu yang disediakannya kepada penerima manfaat. Pakej dan harga istimewa akan disediakan untuk pelbagai kategori dalam tempoh masa yang sesuai kepada semua penerima manfaat.
Projek Bas Mekah melancarkan perkhidmatan berbayar bersepadu, di bawah slogan “Bersama di Laluan,” selepas tamat tempoh percubaan yang memanfaatkan lebih 100 juta orang.
Tempoh percubaan percuma bermula dari 15 Februari, 2022 dan akan berakhir pada 31 Oktober, 2023.
Pusat itu berkata pelancaran perkhidmatan bersepadu bertujuan untuk meningkatkan kualiti dalam rangka pembangunan mampan dan berusaha bersungguh-sungguh untuk memuaskan hati pengguna.
Tiket boleh didapati melalui beberapa saluran, seperti laman web, aplikasi rasmi projek dan mesin jualan tiket yang terdapat di seluruh kota suci Mekah.
Perlu diingatkan bahawa Projek Bas Mekah mencapai kejayaan semasa tempoh percubaan di mana ia dapat memberi perkhidmatan kepada penduduk dan pengunjung Mekah yang melalui 12 laluan, dengan jarak lebih daripada 560 kilometer.
Sebanyak 400 buah bas dan lebih daripada 800 pemandu menjayakan operasi projek di 438 stesen yang terletak di seluruh bandar Mekah.
Projek Bas Mekah akan menyumbang kepada perkhidmatan penduduk dan pengunjung kota suci itu serta meningkatkan kualiti hidup dengan menyediakan bas yang selamat dan cepat di jalan raya yang kurang sesak dan lebih teratur.
Projek itu adalah sebahagian daripada pelan strategik yang bertujuan untuk menambah baik perkhidmatan pengangkutan awam di Mekah di bawah seliaan RCMC.
Ia juga melindungi keselamatan penerima manfaat dan memudahkan serta mempercepat pergerakan mereka di seluruh Mekah, selain mengurangkan kesesakan lalu lintas dan pelepasan karbon berbahaya.

