BEKAS Menteri Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin belum dipanggil Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung siasatan kes rasuah projek percetakan buku J-Qaf untuk prasekolah bernilai kira-kira RM80 juta.
Perkara itu disahkan oleh Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki sambil menambah, siasatan berhubung kes tersebut masih lagi dijalankan.
“Kita belum panggil lagi, siasatan masih dijalankan. Saya serahkan kepada pegawai penyiasat untuk jalankan siasatan,” katanya seperti dilapor Berita Harian.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Sidang Kemuncak Antirasuah Antikorupsi Antarabangsa 2023, hari ini.
Pada 23 September lalu, SPRM menahan dua individu, masing-masing lelaki berusia 20-an yang juga bekas setiausaha politik kepada Radzi dan pemilik syarikat berusia lewat 50-an bagi membantu siasatan.
Baca artikel lain: Himpunan Malaysia Bersama Palestin: ‘Lautan putih’ banjiri Axiata Arena
Penahanan mereka bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta SPRM 2009 berkait kesalahan meminta dan menerima suapan melalui sebuah syarikat sebagai balasan meluluskan projek percetakan buku secara rundingan terus.
Sehari kemudian, Radzi menafikan terbabit dalam dakwaan itu dan isterinya juga tidak mempunyai sebarang kaitan dengan syarikat yang dituduh, sebaliknya penahanan bekas setiausaha politiknya didakwa hanya berdasarkan mesej WhatsApp yang tular di media sosial.
Berikutan itu, beliau yang juga Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) Putrajaya, menegaskan tidak teragak-agak mengambil tindakan undang-undang sewajarnya ke atas sesiapa sahaja yang mengulangi atau menerbitkan semula tuduhan sedemikian.
Sementara itu, Azam ketika ditanya sama ada SPRM terbabit dalam siasatan kes pengubahan wang haram membabitkan pengasas bersama yang juga pemegang saham sebuah syarikat penerbangan, memaklumkan pihaknya tidak terbabit setakat ini.
“Ia tindakan daripada polis. Siasatan bukan kesalahan di bawah Akta Pencegahan Rasuah 2009,” katanya.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

