SATU sesi pendaftaran perkahwinan sivil bukan Islam di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) oleh Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail yang tular dalam media sosial hari ini tidak melibatkan mana-mana ritual keagamaan.
JPN dalam kenyataan menegaskan, proses pendaftaran sivil itu tidak langsung melibatkan, tidak menyerupai, tidak melambangkan dan tidak dipengaruhi dengan mana-mana ritual keagamaan atau adat sesuatu kaum.
Menurut JPN, sesi pendaftaran perkahwinan yang dijalankan di jabatan itu adalah berlandaskan undang-undang sivil di bawah Akta 164.
JPN menegaskan, lafaz ikrar dituturkan oleh pendaftar adalah perkataan yang terkandung dalam Seksyen 23, Akta 164 yang berbentuk keterangan sifat perkahwinan sivil semata-mata.
Katanya, ia juga persetujuan dan kesanggupan pasangan menerima perkahwinan tersebut dengan rela hati tanpa paksaan dari mana-mana pihak.
“JPN merupakan agensi yang bertanggungjawab melaksanakan pendaftaran perkahwinan sivil serta merekodkan maklumat perkahwinan dan perceraian bagi bukan Islam selaras dengan Akta Membaharui Undang-Undang (Perkahwinan dan Perceraian) 1976 (Akta 164).
“Berdasarkan akta ini, Menteri Dalam Negeri merupakan menteri yang bertanggungjawab bagi pendaftaran perkahwinan sivil yang mana membolehkan beliau melakukan pendaftaran perkahwinan pasangan bukan Islam.
Baca artikel berkaitan: PM tiada kaitan keputusan Peguam Negara tidak terus mendakwa Zahid, kata Saifuddin
“Selain Menteri Dalam Negeri, Ketua Pengarah Pendaftaran Negara, Timbalan Ketua Pengarah Pendaftaran Negara, Pengarah Bahagian Perkahwinan dan Perceraian, Pengarah Pendaftaran Negeri serta pegawai dan kakitangan JPN yang bertugas di Bahagian Perkahwinan dan Perceraian sebagai Timbalan Pendaftar Perkahwinan turut diberikan kuasa tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
JPN merujuk video yang sedang tular di media sosial dan aplikasi WhatsApp ketika ini berkaitan Saifuddin Nasution sedang mendaftarkan perkahwinan sivil pasangan bukan Islam di Pejabat JPN Putrajaya sempena Majlis Sambutan Jubli Intan JPN yang diadakan pada pagi ini.
“Video terbabit adalah rakaman yang mana YB Menteri dijemput oleh JPN untuk merasmikan Majlis Sambutan Jubli Intan Jabatan pada hari ini.
“Antara pengisian program adalah mendaftarkan perkahwinan sivil dua pasangan yang sudah dipilih oleh JPN,” katanya.
Malah, JPN memberitahu, sesi pendaftaran perkahwinan sivil dengan menteri itu diadakan sebagai acara istimewa untuk pasangan terpilih ketika sambutan Hari Pendaftaran Negara setiap tahun.
“Orang ramai perlu berhenti menyebarkan maklumat tidak benar dan meneliti setiap berita yang dibaca dan diterima bagi memastikan ketenteraman awam negara terus terpelihara,” katanya.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

