INDUSTRI hiburan tanah air hari ini kecoh apabila sebuah portal hiburan mendakwa bekas madu seorang aktres terkenal diceraikan oleh suaminya yang merupakan pengarah terkenal.
Lebih perit lagi, wanita tersebut yang juga anak kepada pelakon senior itu telah diceraikan menerusi aplikasi WhatsApp.
Biarpun tidak menyebut nama mana-mana pihak, namun netizen mula ‘memetik’ nama Syamsul Yusof dan Ira Kazar selepas mereka mengatakan ‘hint’ yang ditulis portal tersebut seakan sama dengan pasangan tersebut.
Sungguhpun tidak ada kaitan lagi dengan hubungan mereka, namun laman sosial Instagram aktres Puteri Sarah Liyana terus menjadi sasaran warganet yang meninggalkan seribu satu pertanyaan di ruangan komen.
Bagaimanapun menurut Puteri Sarah, dia tidak tahu mengenai khabar angin tersebut kerana dia kini sibuk dengan urusan kerja dan baharu sahaja pulang ke tanah air dari Jakarta, Indonesia.
“Saya tak tahu apa-apa. Saya ni baru saja sampai Malaysia…baru balik dari Jakarta atas urusan kerja,” katanya ringkas.
Portal hiburan tersebut turut menyatakan isteri kepada pengarah tersebut turut dihalau selepas dijatuhkan talak selain mendakwa wanita itu menghidap ‘penyakit berbahaya’.

