SEMUA pekerja syarikat penerbangan MyAirlines yang terjejas susulan penggantungan operasinya sejak 12 Oktober lalu diminta memfailkan tuntutan baki gaji dalam kadar segera.
Kementerian Sumber Manusia (KSM) dalam kenyataan memaklumkan, pekerja MyAirlines boleh memfailkan tuntutan baki gaji mereka di pejabat Jabatan Tenaga Kerja (JTK) berhampiran.
Menurut KSM, prosedur tersebut perlu dilakukan bagi membolehkan tindakan selanjutnya dilaksanakan selaras peruntukan undang-undang sedia ada.
KSM berkata, beberapa sesi pertemuan membabitkan 123 pekerja yang sudah memfailkan tuntutan baki gaji di JTK diadakan antara 16 Oktober sehingga kelmarin.
“KSM prihatin dengan situasi yang dihadapi kakitangan di bawah syarikat penerbangan MyAirlines.
“Sehubungan itu, KSM menyeru semua kakitangan lain yang terbabit untuk tampil memfailkan tuntutan baki gaji mereka di JTK berhampiran dengan kadar segera.
“KSM bersama JTK akan sentiasa memantau dan memastikan kebajikan pekerja syarikat penerbangan ini sentiasa terjaga dan terbela,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Baca artikel berkaitan: MAVCOM gantung serta-merta lesen MYAirline
Pada 12 Oktober lalu, syarikat penerbangan tambang murah, MYAirline mengumumkan penggantungan operasinya serta merta dan ia berlanjutan sehingga satu tarikh akan dimaklumkan kelak.
Dalam satu kenyataan, syarikat itu berkata tekanan kewangan menjadi punca keputusan sukar itu terpaksa dibuat selain menunggu penstrukturan semula pemegang saham dan penjanaan semula modal syarikat itu.
Semalam, Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom) mengumumkan pihaknya sudah menggantung Lesen Perkhidmatan Udara (ASL) MYAirline berkuat kuasa serta-merta.
Dalam kenyataan, suruhanjaya itu berkata menurut seksyen 43(1) Akta Suruhanjaya Penerbangan Malaysia 2015 [Akta 771], penggantungan itu akan menjaga kepentingan penumpang dan pekerja yang terjejas akibat penggantungan operasi MYAirline, serta mengambil kira cabaran yang dihadapi oleh industri penerbangan pasca pandemik COVID-19.
Mavcom berkata sebelum ini ia sudah mengeluarkan surat tunjuk sebab kepada MYAirline pada 13 Oktober serta mengarahkan syarikat penerbangan itu untuk mengemukakan penjelasan bertulis dalam masa 14 hari.
Bagaimanapun, selepas menerima penjelasan bertulis MYAirline pada 27 Oktober serta mengkaji penjelasan bertulis itu, suruhanjaya memutuskan untuk menggantung ASL MYAirline kerana penjelasan yang diberikan adalah tidak memuaskan.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

