PENYANYI Indonesia, Rizky Febian akui kehadiran tunangnya iaitu penyanyi Indonesia Mahalini telah menghadirkan sinar baharu dalam hidupnya selepas kehilangan arwah ibunya pada Januari 2020.
Luahan itu disampaikan Rizky atau nama sebenarnya Rizky Febian Adriansyah Sutisna, 25, sebelum menyampaikan lagu Tetap Merindu yang dicipta sepenuhnya buat arwah ibunya di Konsert An Album Live Concert: Berona Day, malam tadi.

“Selepas kehilangan mama, saya jadi sedih dan kadang kala tidak percaya mama sudah tiada.
“Selepas mama meninggal, Mahalini ialah figura wanita yang menggantikan mama dalam hidup saya dan memberi kegembiraan kepada saya,” ujarnya.
Dalam pada itu, Rizky turut berkongsi idea penulisan lagunya di dalam album terbarunya yang berjudul Berona itu juga telah diinspirasikan buat Mahalini atau nama sebenarnya Ni Luh Ketut Mahalini Ayu Raharja.
“Hampir 80 peratus lagu saya dalam album ini ditujukan buat Lini dan malam ini saya amat gembira dapat berkongsi bersama kalini,” katanya.

Konsert yang berlangsung di Mega Star Arena, Sungei Wang, Kuala Lumpur itu dihadiri lebih 4,000 peminat yang merupakan anjuran Hitman Solutions.
Diiringi lebih 10 pemuzik, Rizky turut menyanyi lebih 20 lagu antaranya Bercanda, Luka, Kesempurnaan Cinta, Terpesona, Membisu, Seperti Kasih, Selaras Kata, Cuek, Hingga Tua Bersama dan lain-lain.

