Misteri piramid di China, pemakaman teragung dalam sejarah

Dari Penulis

Pada tahun 1912, Fred Meyer Schroder yang merupakan seorang ejen perlancongan Amerika melaporkan penemuan piramid di China yang dilihatnya sewaktu berjalan bersama sami Budha ketika melawat wilayah Shaanxi.

Menurut Schroder, piramid putih itu amat besar, dianggarkan setinggi 300 meter dengan tepinya sepanjang 500 meter dan dikelilingi oleh piramid-piramid kecil yang lain di sekelilingnya.

Bogdo, pembimbing jalan yang membawa Schroder ketika itu memberitahu piramid itu berusia lebih kurang tiga ribu tahun dan ia ada dicatatkan dalam dokumen kuno milik biarawan tempatan. Itu adalah kali pertama penemuan piramid di China dilaporkan.

Kemudian, kisah piramid di China ini timbul semula pada tahun 1945 apabila seorang juruterbang Angkatan Tentera Udara Amerika Syarikat, James Gaussman, terserempak dengan sebuah piramid putih ketika beliau sedang dalam penerbangan dari China ke India. Katanya, saiz piramid putih itu lebih besar daripada piramid Giza.

Katanya, “Saya terpaksa membelok ke kiri untuk mengelak banjaran bukit dan selepas itu muncul di hadapan saya, sebuah dataran yang lebar. Di situ saya terlihat sebuah piramid gergasi berwarna putih. Ia mungkin diperbuat daripada logam atau batu marmar. Akan tetapi apabila saya terbang lebih dekat lagi, saya dapati ia diperbuat daripada capstone sejenis batu hiasan kristal. Saya ingin mendarat tetapi tiada lapangan tanah yang cukup luas atau panjang untuk saya berbuat begitu.”

Dua tahun kemudian, pada tahun 1947, Kolonel Maurice Sheahan menjadi orang ketiga yang melihat piramid putih tersebut. Beliau ketika itu yang bertugas sebagai pengarah Syarikat penerbangan Trans World Airlines melihat piramid tersebut sewaktu terbang berdekatan lembah pergunungan Qin Ling di barat daya kota Xi’an.

Kali ini, apa yang disaksikan Maurice berkaitan piramid putih itu telah diwar-warkan kepada pemberita dan disiarkan oleh akhbar New York Times pada 28 Mac 1947 dan mendapat perhatian banyak pihak. Bagaimanapun, China menafikan tentang kewujudan piramid tersebut.

Pada satu sumber teks mengatakan, piramid terbesar di dunia berada di daerah Qin Lin, zon larangan China. Ia dianggarkan 1000 kaki tinggi dan diperbuat daripada tanah padat. Bagaimanapun, kerajaan China menafikan kewujudannya.

Malah, 100 lagi piramid lain juga turut menerima nasib yang sama. Walaupun begitu, aktiviti pelancongan ke kawasan makam Xian yang terkenal dengan askar tanah liat Terracota yang berusia lebih seribu tahun, masih mengiktiraf piramid kerana makam itu terletak di salah sebuah piramid yang dimaksudkan ini.

Piramid terbesar dikatakan terletak pada makam Maharaja Pertama China, bernama Qin Shi Huang (260-210 BC). Baginda merupakan Maharaja China yang pertama selepas berjaya menyatukan semua wilayah di China yang selalu berperang sesama sendiri.

Pada beberapa teks sejarah lama China ada menceritakan perihal maharaja ini. Baginda merupakan seorang maharaja yang mempunyai pelbagai teknologi yang canggih. Antaranya ialah cermin ajaib. Ia memang magis kerana mampu memancarkan imej organ dalaman manusia termasuklah tulang. Sekali imbas, fungsinya sama seperti mesin X-Ray zaman ini.

Menurut sebuah cerita legenda, angkatan perang Qin Shi Huang juga mempunyai teknologi senjata api yang canggih di waktu itu. Senjata ini mampu menggempur kubu musuh dan menawannya dalam sekelip mata.

Terdapat banyak lagi cerita dan legenda yang menyelubungi maharaja ini tetapi buat masa sekarang, kita fokuskan pada makam baginda yang masih belum diterokai sepenuhnya.

Selepas menyatukan wilayah China menjadi sebuah empayar yang besar, Maharaja Qin Shi Huang mengarahkan rakyatnya membina sebuah kompleks makam gergasi untuknya sebelum baginda menaiki takhta sebagai Maharaja pertama China.

Gambaran kompleks makam Maharaja Qin Shi Huang.

Kompleks yang dibina itu seperti sebuah mahligai yang lengkap dengan kuil, kuarters menteri­-menteri dan juga rejimen askar patung Terracota yang berjumlah lapan ribu. Penemuan askar patung ini pada tahun 1970-­an telah menarik pengkaji untuk merungkai misteri makam Qin Shi Huang.

Apa yang menjadi tanda tanya dan misteri, bagaimana ukiran askar patung ini mempunyai raut muka yang unik dan pakaian yang berbeza­beza di antara satu sama lain. Malah senjata besi dan logam yang di pegang mereka juga masih tajam dan tidak berkarat.

Apakah teknologi membuatkan semua peralatan ini mampu kekal beratus tahun? Di manakah rahsia mereka?

Bermula dengan persoalan ini, pakar arkeologi khususnya daripada barat membuat kajian terhadap askar patung dan juga manuskrip-manuskrip lama yang menceritakan perihal kerajaan Qin Shi Huang.

Hasil penyelidikan itu, mereka mendapati mahligai makam itu tidak ubah seperti versi kecil empayar China dengan air merkuri mengalir seperti sungai, mata berlian bertaburan, dinding dipenuhi dengan berlian seakan mirip bintang­bintang di langit serta obor api yang boleh menyala beribu tahun.

Bagi Guo Zhikun, pakar sejarah zaman Dinasti Qin dan Han mengatakan kompleks makam ini terdiri daripada dua bahagian. Pertama, anak bukit yang tertimbus ke atas kubur maharaja itu. Yang kedua, istana bawah tanah tempat keranda baginda tersimpan.

Rekod sejarah mencatatkan bahawa makam maharaja ini berketinggian 115 meter dengan lebar dua ribu meter. Justeru, proses luluh hawa telah menyebabkan piramid makam ini berketinggian 1400 meter dengan luas tapaknya sekitar 120,750 meter persegi.

Maharaja Qin Shi Huang dan replika gambaran makamnya.

Sejak penemuan piramid­-piramid dan patung askar­-askar terracota pada tahun 1940 hingga lah 1970-an, kerajaan Cina sering menafikan kewujudannya dan menyorokkan beberapa piramid tersebut dengan tanah bagi menyerupai bukit biasa.

Kerajaan China juga tidak memberi kebenaran sepenuhnya kepada para saintis dan ahli arkeologi untuk menggali lebih dalam ke dalam makam maharaja ini kerana khuatir akan merosakkan isi kandungan makam itu.

Para saintis hanya diberi kebenaran untuk menyelidik di sekitar makam dan juga menggali lubang kecil bagi kamera beroptik mengintai masuk ke dalam makam tersebut. Di antara penemuan itu ialah gambaran yang seakan merupakan patung wanita menari yang diperbuat daripada gangsa dan berlian.

Pada Februari 2009, ujian tanah yang dijalankan oleh saintis China menunjukkan konsentrasi bahan logam merkuri yang agak tinggi. Ini memperkukuhkan lagi kewujudan legenda sungai merkuri di dalam makam tersebut.

Pada tahun 2013, kerja-kerja ekskavasi telah dijalankan secara giat di sekitar pemakaman ini. Banyak artifak dan patung-patung diperbuat daripada emas, perak dan gangsa ditemui.

Walaupun sudah lebih 40 tahun kerja-kerja ekskavasi dijalankan, ahli arkeologi berpendapat masih banyak perkara yang tersembunyi di sebalik makam maharaja ini.

Wakaupun lokasi makam maharaja ini telah diketahui, sehingga kini para pengkaji tidak berani untuk membuka makam Qin Shi Huang. Bukan saja khuatir makam itu akan rosak apabila dibuka, bahkan mereka juga risau kerana berisiko terdedah kepada kandungan merkuri di dalam makan tersebut.

_____

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram

FacebookTwitterWhatsAppTelegramLinkedInCopy LinkShare


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram

Berkaitan

Nonny Nadirah disuruh pakai seluar dalam terbalik, elak sihir

Bukan semua kisah cinta berakhir dengan kebahagiaan. Ada yang berakhir dengan tangisan. Ada yang berakhir dengan kekecewaan. Namun bagi penyanyi dan...

More Articles Like This