Tahukah anda, di beberapa negara Barat dan sebahagiannya Asia, babi bukan saja diternak sebagai makanan, tetapi juga digunakan sebagai ‘mesin’ pelupus sampah. Itulah kebenarannya dari kajian yang dijalankan oleh Dewey dan Jennifer Hruby dari Muzium Zoologi Universiti Michigan, Amerika Syarikat.
Babi adalah binatang ternakan yang dikenal pasti mempunyai tabiat makan ‘bantai apa saja’. Ia boleh makan tumbuh-tumbuhan, daun, rumput, cacing, siput, telur, bangkai, sampah, najis manusia bahkan najisnya sendiri.
Kerana sifatnya yang begitu, babi memainkan peranan penting sebagai ‘mesin’ pelupusan sampah di kebanyakan negara di dunia. Di Amerika Syarikat pada awal tahun 1990-an, babi dibenarkan dilepaskan di lorong-lorong dan jalan yang kotor dengan tujuan membantu kerja membersihkan sampah.
Ternyata industri ternakan babi di sana berjaya menyelesaikan masalah timbunan sampah selain mendatangkan pendapatan yang lumayan. Bukan hanya menjimatkan kos melupuskan sampah, tapi juga dengan kos penjagaan yang kecil babi mampu memberikan pendapatan yang berlipat ganda hingga mencecah berbilion ringgit kepada Amerika Syarikat. Hasil daging babi yang diberi makan sampah itulah yang dihidangkan di kebanyakan hotel dan restoran mewah di sana.

Kisah babi sebagai mesin pelupusan sampah bukan baru tapi telah dimulakan sejak tahun 1960-an. Ia memudahkan kerana semua bahan buangan manusia akan dilenyapkan oleh babi dan tidak timbul masalah menyediakan tapak pelupusan sampah.
Namun, pada penghujung 1960-an, babi yang diberi makan sampah mentah telah menyebabkan trichinosis (cacing pita) yang disebarkan kepada manusia. Kemudian, sejenis penyakit muncul menyerang babi yang diberi makan sampah, hingga menyebabkan banyak yang mati dan menggugat industri penternakan tersebut.
Disebabkan itu, satu undang-undang telah dikeluarkan oleh kerajaan Amerika yang mana meletakkan syarat, sampah mesti dimasak dahulu sebelum diberi makan kepada babi. Sejak itu, kebanyakan ladang penternakan babi di Amerika memberi makan sampah yang telah dimasak sebagai makanan utama. Babi itu yang dagingnya dijual di pasar untuk dijadikan hidangan istimewa di restoran besar, hotel dan di rumah.
Tidak ada siapa yang mempersoalkan bahawa daging babi itu adalah hasil dari sampah yang dibuang manusia. Dunia moden hari ini meletakkan babi sebagai ‘kemudahan makan sampah’ dan ia dikawal serta diuruskan oleh kerajaan.
Biasanya ia diuruskan secara besar-besaran oleh kerajaan sebagai mesin pelupusan sampah biologi. Namun bukan bermakna babi yang diternak oleh penternak kecil atau persendirian dapat makanan yang istimewa. Babi tetap makan sampah dan sisa buangan manusia.
Jangan ingat cerita babi sebagai pemungut sampah di tepi jalan adalah cara lama dan sudah tidak diamalkan lagi zaman sekarang. Anda silap, babi sebagai pemungut sampah masih lagi menjadi amalan bagi sesetengah negara di dunia.
Di Kaherah, Mesir juga menggunakan babi sebagai mesin pelupusan sampah dahulu. Cuma bezanya babi tidak dilepaskan di jalanan atau lorong untuk makan sampah. Sebaliknya 30 peratus sampah yang dikutip di seluruh bandar itu akan dihantar ke kawasan pendalaman untuk diasingkan. Kerja pengasingan sampah dilakukan secara manual. Barang yang boleh diguna pakai akan dijual sementara sisa buangan manusia dijadikan makanan babi.

Di negara-negara membangun seperti Amerika Latin, sebahagian Afrika (yang bukan negara Islam) dan Asia terutamanya India, babi dibiarkan lepas di halaman rumah dan lorong-lorong supaya boleh makan sampah dan najis manusia. Apabila babi dan manusia berkongsi persekitaran yang sama, di mana pengetahuan penduduknya tentang kebersihan amat kurang, ia akan menjadi masalah besar. Segala penyakit yang dibawa oleh babi akan dipindahkan kepada manusia dengan mudah.
Memang benar binatang ternakan yang lain seperti lembu dan kambing juga boleh menyebarkan beberapa penyakit kepada manusia. Tetapi babi lagi unik kerana ia boleh diibaratkan seperti sebuah pelabuhan besar, memuatkan semua jenis penyakit yang boleh disebarkan kepada manusia.
Penyakit yang dibawa oleh babi disebabkan oleh parasit, bakteria dan virus. Ia jauh lebih bahaya daripada bakteria atau virus yang terdapat pada lembu dan kambing. Malah ada antaranya tidak boleh dihapuskan walaupun apabila daging babi dimasak dengan suhu tinggi atau kaedah memasak paling canggih.
Lebih bahaya lagi, ada juga penyakit babi ini boleh menjangkiti manusia hanya dengan sentuhan, minum air yang telah dicemari kencingnya dan menghidu tanah yang mengandungi tahi babi. Itu belum lagi cerita pasal memakan dagingnya yang mentah, lagi bahaya.
Daging Haram Ada Trichinosis
Isu ini jadi lebih menarik kerana semua penyakit yang ada pada babi sebenarnya ada pada binatang yang dilarang makan di dalam Islam. Sebagai contohnya kucing, anjing, tikus, beruang dan binatang liar yang lain. Daging beruang misalnya mengandungi trichinosis iaitu cacing yang serupa pada daging babi.
Kenapa agaknya orang Barat tidak tergamak hendak makan anjing, kucing ataupun tikus. Malah mereka akan kutuk bila mengetahui, sekelompok masyarakat di Timur yang makan haiwan itu dilabel sebagai kejam.
Orang Barat tidak makan daging binatang-binatang itu kerana mereka tahu bahayanya tapi bila tiba hal babi mereka mendiamkan diri. Faktanya, semua orang tahu bahaya babi kepada kesihatan manusia. Dan ramai masih ingat betapa dahsyatnya wabak trichinosis yang melanda Barat pada awal abad ke-20.
Namun begitu, jika ada penyakit yang disebabkan oleh babi mereka akan cuba untuk merahsiakannya. Mengapa? Jawapannya, senang saja. Industri penternakan babi adalah sumber pendapatan yang menyumbang berbilion ringgit kepada negara Barat. Inilah sebabnya bila ada masalah ancaman kesihatan yang disebabkan oleh babi, masing-masing membisu.
Sebaliknya negara-negara Barat memperkenalkan kaedah penternakan babi yang moden, bersih, selamat dengan suntikan vaksin penghalang penyakit dan canggih. Kebanyakannya mula mengikut kaedah moden dan canggih itu namun itu tidak menjamin penyakit yang dibawa babi tidak akan menjangkiti manusia.
Di sini dipetik sedikit apa yang pernah ditulis oleh penulis dan cendekiawan Mesir, Sayyid Qutub(1906-1966) katanya ; mungkin orang boleh mempersoalkan cara memasak yang moden telah berjaya membunuh cacing di dalam daging babi dan ia selamat dimakan. Tetapi, cacing yang satu itu pun kita ambil masa bertahun-tahun untuk kenal pastinya. Tidak ada siapa yang boleh beri jaminan, tidak ada penyakit baru yang belum dikaji di dalam daging babi sementara kita mengambil masa untuk mengenal pasti yang satu itu.

_____
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram
FacebookTwitterWhatsAppTelegramLinkedInCopy LinkShare

