Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Pulau Pinang berjaya menahan seramai 22 orang pendatang asing tanpa izin (PATI) yang bekerja sebagai pelayan pelanggan (GRO) yang bekerja di sebuah premis pusat hiburan di Georgetown, Pulau Pinang.
Ketua Pengarah JIM, Datuk Ruslin Jusoh berkata, dalam serbuan yang dilakukan Bangunan Wisma Chong Khee Soon semalam, seramai 32 orang individu telah diperiksa.
Katanya, mereka yang ditahan terdiri daripada lima wanita warganegara Vietnam, 15 wanita warganegara Thailand dan dua orang lelaki warganegara Thailand yang berpakaian serta perwatakan wanita.
Jelas beliau, operasi itu dijalankan berdasarkan daripada aduan awam dan risikan JIM berkenaan kegiatan pusat hiburan yang menawarkan wanita warga asing sebagai GRO.
“Semasa serbuan, sebilangan warga asing telah melarikan diri dengan naik ke tingkat atas premis dan bersembunyi dalam stor di tingkat dua. Stor ini agak gelap serta dipenuhi oleh barang-barang perabot dan barangan elektrik yang telah rosak.
“Pegawai serbuan terpaksa menyelongkar di celah-celah timbunan perabot yang rosak bagi mengesan kesemua suspek sehingga mereka berjaya ditahan dan ditangkap,” katanya.

Baca juga: JIM pandang serius, tidak kompromi kepada majikan dera pekerja asing
Mengulas lanjut, Ruslin berkata, hasil siasatan awal di lokasi serbuan mendapati pusat hiburan itu menawarkan GRO wanita asing untuk melayan dan sebagai teman pelanggan berhibur.
Katanya, pelanggan perlu membeli selempang untuk dihadiahkan kepada GRO yang dipilih yang mana setiap selempang berharga dari RM100 hingga RM300.
Beliau berkata, antara kesalahan yang dikenalpasti ialah menyalahgunakan Pas Jangka Panjang, menyalahgunakan Pas Lawatan Sosial dan lain-lain kesalahan yang melanggar Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.
“Kesemua tahanan akan ditempatkan di Depot Imigresen Juru, Pulau Pinang untuk siasatan dan tindakan lanjut,” katanya.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan wartawan di UtusanTV dengan pengalaman 11 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital. Sebelum menyertai UtusanTV pada Januari 2022, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media arus perdana dan portal berita lain sejak 2015. Sepanjang kerjaya, penulis telah menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu seperti jenayah, politik, perkembangan semasa dan hiburan.

