Berita perkahwinan kedua pempengaruh, Alif Teega kecoh menjadi perbualan di media sosial malah ramai yang bersimpati dengan nasib isteri pertama Alif iaitu Aisyah Hijanah yang kini sedang hamil 5 bulan.
Pelakon jelita Puteri Sarah Liyana yang turut pernah melalui fasa ‘bermadu’ sempat berkongsi pendapatnya berhubung isu tersebut.
Menerusi perkongsian di Instagram, Puteri Sarah atau nama sebenarnya Puteri Sarah Liyana Megat Kamaruddin berpesan kepada Aisyah agar membuat keputusan yang tidak memudaratkan namun boleh membahagiakan dirinya dan anak-anak.
“Buat keputusan yang buat apa gembira jika tidak memudaratkan.
“Sarah? Saya bahagia dengan keputusan saya dan saya masih teguh dengan pendirian,” katanya.
Dalam pada itu, ibu kepada dua cahaya mata itu sempat meninggalkan nasihat agar tidak mendengar hasutan orang lain dalam membuat keputusan. Malah, buatlah keputusan yang terbaik buat diri dan anak-anak.
“Jangan dengar hasutan orang lain, jangan biar orang lain buat keputusan untuk kita. Fikir apa yang terbaik untuk awak dan anak-anak. Allah SWT ada dengan awak,” ujarnya.
Meskipun Puteri Sarah tidak menyebut nama mana-mana individu, tetapi wargamaya percaya hantaran tersebut mempunyai kaitan dengan isu yang tular baru-baru ini.

