SEORANG penoreh getah warga Indonesia ditemukan maut setelah disyaki dibaham harimau belang di Gua Musang, Kelantan hari ini.
Kejadian melibatkan mangsa dikenali sebagai Shabaini, 36, yang juga pekerja ladang getah hanya disedari pada pukul 1 tengah hari selepas dia keluar menoreh berhampiran Kampung Kuala Tol di daerah berkenaan.
Ketua Polis Daerah Gua Musang Supt Sik Choon Foo berkata mayat lelaki itu dijumpai dalam keadaan tidak sempurna dengan kesan kecederaan di bahagian leher serta hilang tangan kanan, kedua ibu jari kaki serta sebahagian bawah badan.
“Hasil operasi kira-kira satu jam di tempat kejadian, pasukan SAR menemukan mayat mangsa di kawasan cerun kira-kira 200 meter dari lokasi motosikal mangsa,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Operasi mencari dan menyelamat (SAR) melibatkan anggota polis, Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) dan penduduk setempat
Sik berkata, pasukan SAR membawa keluar mayat mangsa pada 6.16 petang dan tiba di Unit Forensik Hospital Gua Musang pada 7 malam untuk bedah siasat.
“Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut. Pihak polis menasihatkan masyarakat setempat yang keluar bekerja agar bergerak secara berkumpulan bagi mengelak kejadian tidak diingini berlaku,” katanya.
Ini serangan kelima melibatkan harimau belang dan kematian ketiga pada bulan ini.
Sehingga kini, empat dilaporkan maut, termasuk dua penduduk Orang Asli akibat serangan harimau sepanjang tahun ini di Gua Musang pada 5 dan 6 Oktober lalu.
Sementara itu, Ketua Pengarah Perhilitan Datuk Abdul Kadir Abu Hashim mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian serangan hidupan liar di kebun getah itu.
Menurut beliau, usaha mencari dimulakan sekitar 3 petang selepas pihaknya dimaklumkan anggota Balai Polis Gua Musang berhubung kejadian itu.
“Lokasi kejadian terletak jauh di pedalaman dan hanya boleh dimasuki menggunakan pacuan empat roda.
“Mayat mangsa berjaya ditemui dan kemudian dihantar ke Hospital Gua Musang untuk bedah siasat,” katanya.
Abdul Kadir bagaimanapun tidak dapat mengesahkan sama ada haiwan yang menyerang mangsa adalah harimau belang sehingga siasatan lanjut di lokasi kejadian dilakukan.
Sebelum ini, dua lelaki maut dibaham harimau dalam tempoh dua hari membabitkan seorang lelaki warga Indonesia dan lelaki Myanmar.
Lelaki warga Indonesia, Lalu Sukarya Yahya, 42, ditemukan maut pada 10 November lalu di Kampung Meranto di Gua Musang manakala lelaki warga Myanmar, Ahka Soe Ya, 22, maut keesokannya akibat diserang harimau ketika menoreh getah di Ladang Meranto.

