Oleh : Imam Muda Muhammad Asyraf Mohd. Ridzuan
Kenali Hakikat Kehidupan
Selain kita perlu mengenali alam baru yang akan kita hadapi seeloknya juga kita mengenali hakikat kehidupan kita di alam yang fana ini. Hakikat betapa sementaranya alam ini. Betapa kecilnya nikmat dan ujian dunia. Maka yang demikian itu kita akan melupakan segala nafsu dan kegilaan pada dunia yang kecil dan sekejap ini.
Maka persiapan untuk perjalanan yang panjang itu perlu segera kita kumpulkan mulai dari hari dan detik pertama kita menyedarinya. Perjalanan yang sangat panjang itu sungguh meletihkan dan memeritkan seandainya bekal yang dibawa tidak mencukupi apatah lagi jika yang kita bawa itu adalah beban seperti menggalas biawak yang masih hidup? Maka itulah ibaratnya kita di dunia ini menuju akhirat. Amal soleh itu ibarat bekal perjalanan tetapi ia lebih hebat daripada bekalan yang ada. Kerana kita akan dilayan bagai putera mahkota di istana yang hanya ada kebahagiaan tanpa sedikit pun kegusaran.
Sebagai bekal khusus Rasulullah mengajar kita untuk menjadi ahli al-Quran kerana al-Quran takkan meninggalkan ahlinya di mana perhentian sekalipun. Ramai dari kalangan kita merasakan menjadi ahli al-Quran itu adalah perkara yang melecehkan. Mereka inilah yang akan menjadi golongan yang menyesal sepanjang perjalanan alam akhirat. Kita perlu memandang hebat kerana Allah mengangkat mereka sebagai Ahlillah dan menjadi VIP di sisi Allah.
Santuni al-Quran
Al-Quran adalah syafaat yang menemani di kubur dan di hari kiamat. Maka hendaklah kita menyantuni al-Quran di dunia jika kita berimpi disantuni al-Quran di akhirat. Al-Quran adalah zikir terbaik di antara segala zikir yang ada.
Selain itu, sedekah adalah pembantu utama dalam kita terkepit sengsara kerana Rasulullah menyatakan bahawa sedekah itu memadam kejahatan seperti mana air memadam api. Bahkan, sedekah juga akan menemani kita semasa kita keseorangan di alam kubur dan ketika kita gelisah di hari akhirat. Rasulullah juga menyatakan salah satu amalan yang mengikut kita sehingga ke kubur adalah sedekah jariah.
Puasa itu adalah perisai maka di mana pun jua puasa akan melindungi ahlinya daripada sebarang ancaman seksa. Banyak lagi amalan lain antaranya melazimi surah al-Mulk dan al-Waqi’ah. Rasulullah bersabda sesungguhnya dalam al-Quran ada 30 ayat yang memberi syafaat kepada ahlinya sehinggalah diampunkan baginya iaitu tabaarakallazi.
Manakala diingatkan juga selain mencari amalan yang mesti kita lakukan, Rasulullah juga berpesan tentang amalan yang membinasakan masa depan akhirat yang perlu kita hindarkan iaitu dosa lidah seperti dusta, umpat dan kata nista.
Rasulullah pernah berkata kepada sahabat jagalah lidah kamu kerana tidaklah kamu dimasukkan ke dalam neraka melainkan kerananya.
Menjaga atau memastikan penyucian kencing juga antara faktor kita diseksa di alam kubur. Ini boleh kita dapati dalam hadis yang sangat masyhur berkenaan azab kubur seorang diazab kerana mengadu domba dan seorang lagi kerana tidak betul-betul membersihkan air kencingnya.
Bina Kubur Terbaik
Inilah sedikit perkongsian. Mudah-mudahan kita membina alam kubur kita di dunia ini. Al-Banna telah menyebut bahawa hidup dalam perjuangan adalah seni membina kematian. Kita mengukir alam selepas dunia dengan amalan di dalamnya. Kita boleh ubahsuai rumah dengan duit kita yang banyak.
Tetapi alangkah bijaknya jika duit itu kita gunakan untuk mengubahsuai liang lahad kita agar luas terbentang dan nyaman nan indah. Tetapi dekorasi ini bukanlah dengan mengupah arkitek atau jurutera mahal tetapi hanyalah dengan sedekah dan mendana jihad fi sabilillah.
Kita boleh menghias pakaian kita dengan pelbagai aksesori dan corak yang terkini tetapi seeloknya kita menghabiskan masa untuk menghias kain kapan kita dengan amal-amal soleh yang bakal kita corakan di depan malaikat Rauman. Hidup adalah sementara pilihlah mana kita mahukan kerana hayat abadi pasti di sana.

