SEGALA jasa dan pengorbanan yang ditabur bekas Menteri Kesihatan, Datuk Chua Jui Meng sepanjang perkhidmatannya kepada negara pasti dikenang rakyat.
Demikian kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga Jui Meng, 80, yang menghembuskan nafas terakhirnya, petang semalam.
Anwar turut menyifatkan mendiang Jui Meng telah banyak menabur bakti kepada negara.
Menurut Perdana Menteri, Jui Meng, 80, turut memainkan peranan penting sepanjang bersama PKR tatkala mengemudi pimpinan parti itu di Johor.
“Mendiang Datuk Chua adalah sosok yang telah banyak menabur bakti kepada negara, khususnya selaku Menteri Kesihatan paling lama selama sembilan tahun dari 1995 hingga 2004.
“Segala jasa dan pengorbanannya pasti dikenang rakyat serta rakan-rakan yang turut sama berjuang untuk negara tercinta.
“Saya doakan urusan keluarganya dipermudah,” katanya dalam hantaran di Facebook, malam tadi.
Baca artikel lain: Chua Jui Meng meninggal dunia pada usia 80 tahun
Jui Meng dilaporkan meninggal dunia di Hospital Serdang pada pukul 4.04 petang, semalam.
Anak jati Muar, Johor itu menjadi antara Menteri Kabinet paling lama menerajui Kementerian Kesihatan iaitu sembilan tahun dari 1995 hingga 2004 sebelum digugurkan daripada Kabinet Tun Abdullah Ahmad Badawi.
Jui Meng mula berkecimpung dalam arena politik apabila menyertai MCA pada 1976 dan memegang beberapa jawatan tertinggi parti termasuk Ketua MCA Bahagian Bakri pada 1987 serta Timbalan Setiausaha Agung MCA (1987-1990).
Berkelulusan dalam jurusan undang-undang dari Inner Temple, England, Chua merupakan individu paling lama menyandang jawatan Naib Presiden MCA iaitu dari 1990 hingga 2004.
Beliau bertanding buat kali pertama dalam PRU ke-7 di kerusi Parlimen Bakri dan menang dengan majoriti 1,105 undi mengalahkan Song Sing Kwee (DAP).
Jui Meng mengekalkan kemenangan di kawasan itu selama lima penggal hingga 2008.
Pada 2009, beliau mengumumkan keputusan keluar daripada MCA dan menyertai PKR.
Dalam tempoh setahun bersama parti itu, beliau dilantik sebagai Naib Presiden PKR.
Pada PRU ke-13, Jui Meng mencuba nasib bertanding di Parlimen Segamat namun tewas dengan majoriti 1,217 kepada calon MIC daripada Barisan Nasional iaitu Tan Sri Dr S. Subramaniam.
Hasil perkahwinan Chua dengan Datin Honey Wong Nyet Lan, pasangan itu dikurniakan lima cahaya mata.
Semasa berkhidmat sebagai Menteri Kesihatan, beliau dianugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Sains oleh Crimea State Medical University dari Ukraine kerana sumbangannya dalam bidang kesihatan di Malaysia.
Mendiang juga pernah menjalani pembedahan di Institut Jantung Negara pada tahun 2000.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

