VETERAN DAP, Tan Sri Lim Kit Siang sepatutnya menasihati parti sekutu dalam kerajaan khususnya UMNO untuk menukar Presiden berbanding mempersoalkan tentang perubahan kepimpinan Pas.
Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan menegaskan, Kit Siang boleh berbuat demikian sekiranya bekas Ahli Parlimen Iskandar Puteri itu berasa berhak menimbulkan persoalan mengenai perubahan kepimpinan parti-parti selain DAP.
Menurut Takiyuddin, lebih tepat dan berfaedah jika Kit Siang menasihati UMNO yang jelas semakin kehilangan sokongan bukan sahaja dalam kalangan ahlinya sendiri apatah lagi orang awam.
Beliau berkata, keadaan itu sepatutnya lebih membimbangkan Kit Siang terutama apabila kepimpinan UMNO turut terpalit dengan kes-kes jenayah besar yang pernah ditentang DAP sendiri tidak lama dahulu.
Takiyuddin menjelaskan, Kit Siang sebagai ahli politik veteran tentu tidak terlepas pandang bahawa dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Kemaman, gabungan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) telah kehilangan kira-kira 20,000 undi yang dimenangi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) lalu.
“Sudah pastilah DAP tidak boleh berlepas tangan, terus berdiam diri atau mendakwa tidak terlibat dengan perkembangan yang berlaku terkait keadaan dan persengkongkolan itu.
“Trend ini sangat jelas dalam semua PRK yang diadakan selepas PRU-15, baik di Terengganu, Johor mahu pun Pahang.
“Justeru lebih bermanfaat sekiranya Kit Siang memberi tumpuan kepada masalah dalaman PH-BN sendiri serta isu kehilangan sokongan dan populariti yang dialami Putrajaya, bukannya terus bermain politik picisan, hipokrit, hiperbola dan spekulatif yang tidak akan membantu mewujudkan masyarakat serta negara yang lebih baik, jujur dan demokratik,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Baca artikel lain: Pas perlukan UMNO jika mahu Dr Sam jadi PM sebelum PRU16, kata Isham Jalil
Mengulas lanjut, Takiyuddin menegaskan persoalan yang cuba dibangkitkan Kit Siang terutama mengenai kedudukan Tan Sri Abdul Hadi Awang sebagai Presiden Pas dan kemungkinan Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar menggantikannya adalah tersasar, malah tidak mempunyai merit sama sekali.
Malah, katanya, Pas bukan sahaja tidak mempunyai masalah dengan kepimpinan Abdul Hadi, tetapi kedudukannya sebagai Presiden tidak pernah dicabar kecuali sekali sahaja, namun terus mendapat sokongan penuh daripada ahli serta perwakilan di setiap kali Muktamar Tahunan Pas.
Beliau berkata, pencapaian Pas di bawah kepimpinan Abdul Hadi juga adalah yang terbaik jika dibandingkan dengan era sebelumnya.
“Pas kini merupakan parti tunggal terbesar dengan kerusi terbanyak di Parlimen, menguasai pentadbiran empat negeri dan mempunyai wakil di semua Dewan Undangan Negeri (DUN) di Semenanjung.
“Kit Siang juga bukanlah orang paling layak untuk bercakap tentang kesederhanaan dan sikap terbuka, baik kerana sejarah lampaunya sebagai seorang ahli politik mahu pun kedudukan semasanya sebagai penasihat sebuah parti yang masih sangat tebal dengan retorik perkauman dan cauvinisme,” jelasnya.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

