PELAKON, Eyka Farhana meluahkan kekecewaan apabila pembantu rumah yang disayanginya melarikan diri dari rumah sejurus selepas mendapat gaji yang diberikannya.
Menerusi hantaran yang dimuat naik di TikTok, Eyka atau nama sebenarnya Wan Atiqa Farhana Wan Sarmizi dilihat sedang melakukan rutin penjagaan kulitnya memaklumkan bahawa kejadian tersebut terjadi sewaktu dirinya berada dalam keadaan yang kurang sihat.
Ujar Eyka, dia yang kebiasaannya akan membayar gaji bibiknya itu pada setiap 5 atau 6 haribulan terkejut apabila wanita berkenaan memintanya untuk membayar gaji lebih awal.
“Waktu tu saya sakit tapi dia jaga saya dengan sangat baik. Dalam dia jaga saya tu, dia berkeras nak juga duit gaji dia di awalkan.
“Saya memang tak larat tapi ada satu hari tu saya bangun pukul 5 pagi macam tu dan saya terus masukkan duit gaji dia.
“Lebih kurang satu jam lepas tu, dalam pukul 6 pagi, ibu saya kejut dan maklumkan pada saya yang bibik saya ni dah lari,” katanya.
Eyka bagaimanapun, sama sekali tidak menyangka bibiknya itu sanggup melarikan diri kerana keluarganya sentiasa melayan wanita berkenaan dengan baik.
“Tapi saya perasan yang semenjak dua menjak ni dia selalu cakap dengan ibu saya bahawa dia tidak akan melarikan diri dari kami sebab dia rasakan kami dah jaga dia dengan sangat baik dan sebagainya.
“Bibik saya tu juga sejak akhir-akhir ini dia seperti mempertikaikan tindakan kebanyakan bibik di luar sana yang melarikan diri daripada majikan mereka.
“Tapi bila saya selidik balik, sebenarnya dia lari adalah sebab lelaki. Saya tengok TikTok, dia banyak buat video duet dengan lelaki,” jelasnya.
Aktres berusia 28 tahun itu turut menguatkan lagi dakwaannya itu dengan mengatakan bahawa bibiknya itu akan mencari alasan memberitahu dirinya tidak sihat sehingga perlu mendapatkan rawatan di hospital sehingga lima ke enam hari lamanya.
Di akhir videonya tersebut, pelakon drama ‘Melur Untuk Firdaus 2 menasihati orang ramai untuk tidak mempercayai pembantu rumah mereka sepenuhnya untuk mengelakkan daripada kejadian yang menimpanya ini berulang.
Perkongsian Eyka itu turut mendapat perhatian netizen namun, lain pula yang diperhatikan mereka.
Meninjau ke ruangan komen, rata-rata netizen memuji cara Eyka menjaga kecantikannya dan tertarik dengan produk ‘skin care’ digunakannya.
Menurut netizen, mereka sukar untuk fokus mendengar cerita yang disampaikan Eyka kerana begitu tertarik dengan kecantikan pelakon yang juga merupakan kekasih hati pemain bola, Akhyar Rashid.

