PENYANYI dan pelakon, Alif Satar memberikan sedikit pandangan mengenai isu yang menimpa rakan selebritinya, Kaka Azraff yang dikhabarkan bakal ditamatkan kontrak hanya kerana menunjukkan sokongan kepada rakyat Palestin.
Memetik laporan OhBulan!, Alif atau nama sebenarnya
Muhammad Alif Muhammad Satar berkata Kaka tidak perlu risau sekiranya kontrak bakal ditamatkan oleh syarikat rakamannya, Warner Music Malaysia.
Menurut Alif yang juga berada di bawah naungan syarikat yang sama, apa yang ditunjukkan oleh Kaka itu berkaitan dengan akidah serta iman maka, sudah pasti akan ada yang lebih baik menanti sekiranya berlaku perkara yang di luar jangkaan.
“Saya tak nak berikan komen sangat mengenai ini tetapi saya rasa kalau dia (Kaka) ditamatkan kontrak sekalipun (hanya kerana menunjukkan solidariti), dia tidak perlu risau kerana ini adalah berkaitan dengan soal iman dan akidah.
“Tiada apa yang lebih besar dan penting berbanding akidah dan iman kita sebagai seorang muslim. Ingatlah apa yang terjadi itu adalah yang terbaik dan pastinya akan ada yang lebih baik menanti,” katanya.
Sementara itu, penyanyi berusia 33 tahun tersebut berpendapat, setiap individu dan selebriti mempunyai cara mereka tersendiri bagi menunjukkan solidariti buat masyarakat Islam yang kini sedang berjuang di Gaza.
“Apa yang saya boleh cakap ialah pendirian saya sendiri yang jelas memberikan sepenuh sokongan kepada orang-orang di Palestin. Di mana saya yakin, bukan saya seorang sahaja yang menyokong penuh mereka di sana tapi rakan artis bahkan satu Malaysia juga begitu.
“Tak kisah kita di bawah naungan label mana-mana mereka tahu pendirian saya yang begitu tegas mengenai isu ini. Saya pun ada kongsikan juga di media sosial saya untuk perbaiki diri kita dan dalam masa yang sama dapat membantu rakyat di sana.
“Pada saya setiap orang mempunyai cara mereka yang tersendiri untuk menunjukkan solidariti itu. Lain orang, lainlah cara mereka dan saya doakan yang terbaik untuk kita semua,” ujarnya.
Tambah pelantun lagu ‘Cukup Indah’ itu, pendiriannya itu sama sekali tidak akan berubah walaupun dia harus berdepan dengan risiko kehilangan beberapa tawaran pekerjaan.
“Saya pun manusia biasa, sudah tentu ada keraguan dan kerisauan kalau-kalau akan hilang banyak tawaran dan sebagainya tapi saya akan tetap dengan pendirian untuk menyokong Palestin.
“Kalau hilang tawaran ke apa nak buat macam mana kan? Takkanlah kita nak tiba-tiba nak sokong Israel.
“Mereka tidak boleh halang atau ubah pendirian saya mengenai isu ini,” jelasnya.
Terdahulu, muncul khabar angin yang mengatakan Kaka atau nama sebenarnya Nor Atiqa Noor Azraff yang bakal ditamatkan kontraknya bersama syarikat rakaman, Warner Music Malaysia.
Akibat susulan dari Kaka yang telah meninggalkan sebuah komen mempertikaikan tindakan Israel terhadap rakyat Palestin kepada pelakon Australia pro-Israel, Nathaniel Buzolic.
Tindakan Kaka telah mendapat perhatian di laman Instagram penyokong tegar Israel iaitu Jew Hate Database.

