KENYATAAN veteran DAP, Tan Sri Lim Kit Siang bahawa beliau mengimpikan akan ada Perdana Menteri dilantik daripada kalangan bukan Melayu dilihat sebagai provokasi terhadap ‘status quo’.
Perkara itu menurut Ketua Pemuda UMNO, Dr Muhamad Akmal Saleh diburukkan lagi dengan kenyataan yang dibuat Pengerusi DAP Kuala Lumpur, Tan Kok Wai.
Kok Wai dalam kenyataannya semalam mengusulkan agar pilihan raya bagi Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) Wilayah Persekutan Kuala Lumpur diadakan sebagai negeri perintis.
Dr Muhamad Akmal berkata, kenyataan-kenyataan yang dibuat kedua-dua pemimpin DAP itu tidak wajar dikeluarkan memandangkan hanya akan mencetuskan ketidakharmonian dalam kalangan rakyat Malaysia.
Malah, Dr Muhamad Akmal juga yakin Kerajaan Perpaduan yang digerakkan dengan kerjasama Pakatan Harapan-Barisan Nasional (PH-BN) juga tidak selesa.
Beliau menegaskan, kenyataan-kenyataan pemimpin DAP itu umpama provokasi sengaja terhadap status quo’ persefahaman di antara kaum yang dikecapi selama ini.
“Provokasi pendapat ini membuka ruang supaya ada perbincangan dan perbezaan pandangan yang akan melebarkan rasa tidak senang.
“Misalnya jika hendak dilakukan pilihanraya PBT di Kuala Lumpur, demografi penduduk berdasarkan bancian di Wilayah Kuala Lumpur adalah seramai 1,588,750 orang, daripada jumlah itu hanya 45.9 peratus merupakan penduduk Bumiputera.
“Jika diadakan pilihanraya, semestinya ketidakseimbangan akan wujud dan boleh dijangka apa kesudahannya,” katanya menerusi hantaran di media sosial hari ini.
Baca juga: PM Anwar hadiri mesyuarat AZEC dan bertemu Diaspora
Semalam, Kok Wai mencadangkan kepada kerajaan supaya memulakan pilihan raya PBT di bandar raya itu.
Ahli Parlimen Cheras itu dilaporkan berkata, pengenalan pilihan raya PBT di Kuala Lumpur bertujuan untuk kelestarian dan memberi pilihan kepada penduduknya memilih ahli majlis tempatan.
Mengulas lanjut, Dr Muhamad Akmal berkata, Malaysia telah ditadbir berdasarkan konsensus dan kemuafakatan sejak enam dekad yang lalu.
Oleh itu, beliau mengingatkan pemimpin DAP untuk lebih sensitif dan menghormati kehormanian sedia ada serta tidak membangkitkan rasa tidak senang dan pesimis dalam kalangan masyarakat.
Dr Muhamad Akmal juga menegaskan bahawa Pemuda UMNO tidak akan sama sekali berkompromi dengan apa jua cadangan dan tindakan seumpama itu.
“Berada di dalam Kerajaan yang sama tidak bermaksud boleh bersetuju dalam semua perkara kerana kerajaan ini bukanlah kerajaan DAP.
“Ia dibina dengan kehadiran UMNO dan segala keputusan yang melibatkan kepentingan agama Islam, bangsa Melayu dan raja-raja Melayu kami tidak akan sedikit pon berganjak apa lagi mengalah,” katanya.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan wartawan di UtusanTV dengan pengalaman 11 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital. Sebelum menyertai UtusanTV pada Januari 2022, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media arus perdana dan portal berita lain sejak 2015. Sepanjang kerjaya, penulis telah menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu seperti jenayah, politik, perkembangan semasa dan hiburan.

