SEBANYAK 63 lokasi di tujuh daerah di Kelantan hari ini mengalami gangguan bekalan elektrik berikutan hujan lebat, ribut dan banjir.
Tenaga Nasional Berhad (TNB) menerusi kenyataan di laman Facebook TNB Careline berkata tujuh daerah itu melibatkan Bachok, Tumpat, Kota Bharu, Pasir Mas, Pasir Puteh, Kuala Krai dan Gua Musang.
Menurutnya, susulan kejadian ribut dn hujan lebat berterusan di Kelantan, kerja-kerja pemulihan bekalan elektrik dijangka mengambil masa yang panjang.
“Ini kerana banyak pokok tumbang yang menghempap tiang serta talian TNB,” katanya hari ini.
Mengulas lanjut TNB Careline berkata di Kota Bharu, gangguan melibatkan 14 kawasan manakala di Bachok dan Pasir Mas sebanyak lapan lokasi terjejas.
Menurutnya, gangguan turut melibatkan lima lokasi masing-masing di Kuala Krai dan Gua Musang selain Tumpat (4) dan Pasir Puteh (3).
“Orang ramai dinasihatkan agar tidak menghampiri talian TNB yang jatuh atau mana-mana pepasangan elektrik yang rosak.
“Pasukan teknikal sedang berusaha untuk memulihkan bekalan termasuk mengutamakan keselamatan semua pihak semasa kerja-kerja pemulihan bekalan,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, TNB Careline menerusi hantaran berasingan memaklumkan, sebanyak 16 lokasi di Rantau Panjang, Pasir Mas terputus bekalan elektrik susulan banjir di kawasan itu.
Menurutnya, setakat pukul 10 malam TNB telah menutup bekalan di beberapa pencawang elektrik bagi memastikan keselamatan para pengguna.
“Sekiranya banjir semakin bertambah buruk, berisiko serta membahayakan keadaan, penutupan bekalan akan dilakukan di pencawang elektrik yang terlibat bagi memastikan keselamatan pengguna setempat,” tambahnya.

