Kadar inflasi 1.5 peratus: Berita baik untuk Malaysia?

Dari Penulis

KADAR inflasi bulan November ialah 1.5 peratus. Kadar terendah berbanding setahun yang lepas, 4 peratus pada November 2022 berikutan trend menurun berterusan sejak Ogos 2022. Secara keseluruhan, untuk tahun 2023, inflasi dijangka antara 2.5 – 3 peratus.

Adakah kadar inflasi yang rendah atau tinggi, boleh ditafsir sebagai kedudukan ekonomi yang ‘baik’ atau ‘buruk’ secara mutlak? Ramai yang keliru.

Kadar inflasi adalah petunjuk ekonomi yang membawa maklumat penting. Terjemahan yang betul amat perlu bagi menilai dan merencana polisi ekonomi.

Kadar inflasi harus dinilai secara kontekstual, mengambil kira status ekonomi semasa. Sebagai contoh, ketika Malaysia dilanda krisis ekonomi Asia Timur 1997/98, nilai ringgit jatuh mendadak, inflasi melonjak mencecah 5.3 peratus pada tahun 1998.

Kadar inflasi juga pernah melonjak (5.4 peratus) pada tahun 2008 akibat kenaikan harga makanan dan bahan api global pada tahun berkenaan. Umumnya peningkatan kos pengeluaran menjadi antara punca kadar inflasi meningkat bagi dua episod ini.

Sebaliknya ketika krisis pandemik COVID-19 pada tahun 2020, penutupan aktiviti perniagaan dan sekatan mobiliti telah menyebabkan permintaan jatuh mendadak. Kadar inflasi jatuh ke paras negatif -1.1 peratus pada tahun 2020.

Kadar inflasi juga menurun rendah 0.6 peratus pada tahun 2009, khususnya akibat permintaan global menguncup berikutan krisis kewangan global. Dalam konteks ini, kadar inflasi menurun susulan permintaan yang rendah.

Sejak tahun 1990, purata kadar inflasi ialah 2.6 peratus setahun. Umumnya kadar inflasi adalah positif, bererti harga sentiasa meningkat. Hanya kadar kenaikannya berubah.

Adakah trend penurunan kadar inflasi sejak Ogos 2022 sesuatu yang luar biasa, jarang berlaku? Tidak. Sejak 2011, sebelum krisis COVID-19, terdapat 4 episod trend penurunan kadar inflasi secara berterusan.

Kadar inflasi negara dari tahun ke tahun

Waspada, kadar inflasi menurun tetapi selagi ia positif, purata paras harga terus meningkat. Kadar inflasi yang rendah tidak bermakna kos sara hidup menurun.

Adakah kadar inflasi yang rendah 1.5 peratus ini satu berita baik? Kita harus menilai apakah punca kadar inflasi kini menjadi sangat rendah sebelum merumuskannya sebagai satu kejayaan. Adakah kadar inflasi yang rendah ini adalah berpunca daripada penurunan permintaan?

Baca artikel lain: Pelaporan inisiatif-inisiatif kerajaan perlu diperkemaskan

Untuk suku kedua, 2023, MIER melaporkan penurunan dalam Consumer Sentiments Index dan Business Conditions Index. Pengguna dan firma menjangkakan suasana ekonomi yang muram dan menghadkan perbelanjaan masing-masing. Dalam masa yang sama, kelembapan ekonomi global telah menguncupkan imbangan dagangan negara daripada RM26.7 bilion pada Mac 2023 kepada RM12.4 bilion pada November 2023. Ada kemungkinan permintaan yang rendah mendorong kadar inflasi menjadi rendah. Ini bukan berita baik.

Adakah trend yang menurun satu petanda ekonomi yang baik. Kalau betul tafsiran ini, adakah semakin rendah kadar inflasi, maka semakin baik ekonomi kita? Atau lebih ekstrem, kadar inflasi yang negatif (dikenali sebagai deflasi) akan memanfaatkan rakyat? Sesuai dijadikan matlamat ekonomi makro yang perlu direalisasikan?

Benar, kadar inflasi yang tinggi lebih daripada kadar kenaikan upah menghakis kuasa beli pendapatan. Nilai wang menjadi lebih rendah, meningkatkan kos sara hidup. Adakah ini bererti menurunkan kadar inflasi serendah yang boleh, sifar atau negatif baik untuk rakyat?

Kadar inflasi yang terlalu rendah berhadapan dengan kemungkinan berlakunya deflasi (kadar inflasi menjadi negatif), satu zon bahaya ekonomi. Ekonomi Jepun yang terperangkap dengan deflasi untuk tempoh yang panjang sering dirujuk oleh ahli ekonomi.

Jangkaan trend harga akan terus menurun berikutan deflasi akan menyebabkan pengguna menangguhkan perbelanjaan, permintaan berkurangan, firma tidak melabur dan seterusnya membawa kepada kitaran kelembapan ekonomi yang berpanjangan.

Hati-hati. Seperti yang saya ungkapkan sebelum ini, inflasi umpama tekanan darah (atau tekanan angin tayar kenderaan), terlalu tinggi atau terlalu rendah, kedua-duanya buruk.

Kadar inflasi sebaiknya positif dan stabil pada kadar yang mampan, tidak terlalu tinggi dan tidak terlalu rendah, bersesuaian dengan daya pengeluaran negara. Sekiranya kadar inflasi menjadi lebih rendah dari 1.5%, cenderung sifar atau negatif kita seharusnya risau terjebak dengan deflasi. Jangan terperangkap dalam zon merbahaya ekonomi.

MINDA UKM: Bersama Membangunkan Negara

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram

Berkaitan

Gempa kuat landa Mindanao, gegaran dirasai di Semporna

GEMPA bumi kuat bermagnitud 6.8 melanda Mindanao, Filipina pada pukul 7.34 malam tadi. Menurut Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia), gegaran turut...

More Articles Like This