“JANGANLAH sehingga ‘menang bersorak, kampung tergadai,” kata Ketua Penerangan Pemuda Pas, Nazir Helmi menyentuh isu persempadanan semula kawasan pilihan raya yang diusulkan pemimpin-pemimpin Pakatan Harapan-Barisan Nasional (PH-BN).
Perkara tersebut menurut Nazir kerana sejarah politik negara telah memperlihatkan langkah persempadanan semula kawasan pilihan raya atau gerimander menjadi senjata ampuh menjatuhkan parti pembangkang.
Walaupun perkara itu tertakluk pada kajian Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) dan prinsip serta tatacaranya termaktub bawah Perlembagaan Persekutuan, Nazir berkata, potensi ketidakadilan masih ada.
Hal itu menurut beliau pernah berlaku ketika mana Kerajaan Persekutuan melaksanakan persempadanan semula pada 2004 dan 2018.
“Gerimander yang dipraktikkan bersifat amat berat sebelah dan melanggar prinsip one man, one vote setelah berlakunya ketidaksamarataan nisbah perwakilan kepada pengundi. Sekaligus melanggar prinsip dan prosedur yang ditetapkan.
“Kesannya, Pas telah hilang satu kerusi pada Pilihan Raya Umum Ke-11 PRU11 (2004) dan satu kerusi pada PRU14 (2018) akibat persempadanan semula.
“Pengamalan ini turut ditempelak oleh pimpinan-pimpinan PH, antaranya Fahmi Fadzil yang menyebut bahawa pengamalan ini tidak berintegriti dan tidak baik untuk demokrasi,” katanya dalam kenyataan.
Baca juga: SPR laksana proses kajian persempadanan semula bermula di Sarawak
Mengulas lanjut, Nazir turut membidas pemimpin-pemimpin Melayu dalam PH yang sebelum ini lantang menentang langkah persempadanan semula kawasan pilihan raya semasa menjadi pembangkang.
Lebih memeranjatkan menurut beliau adalah apabila Konvensyen Parti Amanah Selangor telah mengusulkan desakan terhadap kerajaan dan SPR untuk melakukan persempadanan semula bagi kawasan Parlimen di seluruh negara menjelang PRU16.
Nazir berkata, tindakan itu dilihat memusykilkan kerana usul persempadanan semula dibuat DAP tetapi digesa oleh Amanah.
“Adakah DAP merasakan suara mereka cukup rapuh untuk memperjuangkan usul ini kerana bakal membakar amarah Melayu, dan seterusnya menggagalkan pelaksanaan persempadanan semula?,” katanya.
Dalam pada itu, Nazir turut mengakui bahawa Pas pernah mengusulkan langkah persempadanan semula kawasan pilihan raya kepada kerajaan pada 2021.
Begitupun, katanya, agenda persempadanan semula oleh Pas adalah berbeza kerana jelas menekankan kepentingan Melayu-Islam sebagai memenuhi hak kaum majoriti dalam negara.
Hal itu menurut beliau adalah berbeza dengan konsep persempadanan semula yang dicadangkan DAP kerana dibimbangi hanya akan memberikan kelebihan berat sebelah kepada DAP-PH.
“Benar seperti yang dikatakan Saudara Sany bahawa Melayu juga ada dalam DAP. Persoalannya, siapa yang mendominasi DAP?
“Siapa figura utama DAP yang mengatur dan mengurus segala gerak kerja dan posisi-posisi penting, baik dalam parti mahupun urusan politik dan negara?,” katanya.
Nazir menambah, Pemuda Pas menyeru semua pimpinan Melayu agar mempertimbangkan kewajaran pelaksanaan persempadanan semula dengan meletakkan keutamaan kepada hak orang Melayu.
“Isu persempadanan semula pilihan raya ini biarpun satu senjata ampuh, tetapi masih rapuh selagi tidak mendapat persetujuan pimpinan-pimpinan Melayu dalam pentadbiran negara,” katanya.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan wartawan di UtusanTV dengan pengalaman 11 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital. Sebelum menyertai UtusanTV pada Januari 2022, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media arus perdana dan portal berita lain sejak 2015. Sepanjang kerjaya, penulis telah menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu seperti jenayah, politik, perkembangan semasa dan hiburan.

