Penduduk terjejas banjir di Johor, Pahang turun kepada 8,566 malam ini

Dari Penulis

JUMLAH mangsa banjir di Johor dan Pahang mencatatkan penurunan kepada 8,566 orang yang berlindung di 73 pusat pemindahan sementara (PPS) setakat 8 malam ini berbanding 8,904 orang di 80 PPS petang tadi.

Menurut laporan terkini situasi banjir di seluruh negara dikeluarkan Pusat Kawalan Bencana Negara Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), di Johor sebanyak 25 PPS dibuka di Kota Tinggi yang menempatkan 4,652 mangsa, diikuti 11 PPS di Kluang (1,613 mangsa), lima PPS di Johor Bahru (903 mangsa), tiga PPS di Segamat (73 mangsa) serta sebuah PPS masing-masing di Kulai (86 mangsa) dan Pontian (17 mangsa).

Di Pahang, jumlah mangsa banjir berkurang kepada 1,222 mangsa daripada 334 keluarga yang berlindung di 27 PPS di tiga daerah berbanding 1,393 mangsa daripada 383 keluarga di 26 PPS petang tadi.

Seramai 536 mangsa daripada 167 keluarga ditempatkan di 11 PPS di Rompin, serta masing-masing lapan PPS di Maran (473 mangsa daripada 110 keluarga) dan Pekan (213 mangsa daripada 57 keluarga).

Sebuah PPS turut dibuka di Kuching, Sarawak disebabkan bencana kebakaran yang menempatkan 38 mangsa daripada 12 keluarga.

Sementara itu, tinjauan situasi status Stesen Telemetri Jabatan Pengairan dan Saliran mendapati beberapa sungai di Johor mencatatkan paras bahaya antaranya Sungai Skudai di Johor Bahru, Sungai Johor (Johor Bahru), Sungai Johor (Kota Tinggi), Sungai Johor (Kulai) dan Sungai Endau (Kluang).

Selain itu, Sungai Kedah di Kota Setar, Kedah, Sungai Kelantan (Kota Bharu, Kelantan), Sungai Perak (Hulu Perak, Perak), Sungai Arau (Arau, Perlis), Sungai Salim Batang Rajang (Sibu, Sarawak) dan sungai di Pahang iaitu Sungai Kuantan (Kuantan), Sungai Pahang (Jerantut), Sungai Pahang (Pekan dan Maran) dan Sungai Rompin (Rompin).

Laporan itu juga memaklumkan terdapat 60 jalan ditutup akibat bencana banjir, jambatan rosak atau runtuh dan tanah runtuh, antaranya Jalan Kota Tinggi-Kluang di Kluang, Johor; Jalan Sungai Sok-Chucuh Puteri, Kuala Krai di Kelantan; Jalan Raya Timur Barat (JRTB) Kupang-Gerik-Jeli, Hulu Perak di Perak dan Jalan Temerloh-Jerantut di Pahang.

Sementara itu Bilik Gerakan Bencana (BigBen) Jabatan Kerja Raya (JKR) telah diarah beroperasi dari 8 pagi hingga 12 tengah malam tujuh hari seminggu berikutan peningkatan kes bencana alam terutama di Johor dan Pahang.

Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata operasi itu membabitkan seluruh staf Cawangan Senggara Fasiliti Jalan JKR dengan empat pelaporan situasi semasa setiap hari.

“Saya mohon semua penduduk di kawasan terlibat untuk sentiasa berhati-hati dan mematuhi segala arahan yang dikeluarkan oleh agensi yang bertugas. JKR akan sentiasa bersiap-siaga dan saya telah mengarahkan pasukan JKR untuk memberi bantuan segera yang sewajarnya,” menurutnya dalam hantaran di laman Facebook hari ini.

Beliau berkata setakat 6 petang, 51 lokasi di seluruh negara telah terkesan akibat bencana alam dengan 23 dilaporkan di Jalan Persekutuan dan 28 di Jalan Negeri manakala Pahang serta Johor masing-masing merekodkan 19 dan 20 lokasi terjejas tertinggi.

Berdasarkan perkongsian data bencana di seluruh negara di BigBen JKR setakat 6 petang itu, sebanyak 31 kes banjir, 12 melibatkan insiden cerun runtuh, empat insiden jalan runtuh, tiga kes jambatan rosak atau runtuh dan satu kes jalan mendap. – BERNAMA


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Berkaitan

6 termasuk bayi maut dalam kemalangan dengan lori muatan tanah di Sungai Petani

ENAM maut termasuk seorang bayi selepas kenderaan utiliti sukan (SUV) dinaiki mereka terbabit dalam kemalangan dengan sebuah lori muatan...

More Articles Like This